suria

Lelaki Ditemui Mati Dengan Kesan Kelar Dan Tikaman

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki ditemui mati dengan kesan kelar di leher dan tikaman pada dada kirinya di kawasan padang di Jalan Pandan Jaya 7, Pandan Jaya, Ampang di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Abdul Jalil Hassan berkata lelaki yang berusia dalam lingkungan 30-an itu ditemui terbaring dalam keadaan berlumuran darah bersama-sama dompet dan telefon bimbitnya oleh orang awam pada pukul 7.25 pagi.

"Ketika ditemui, mangsa memakai baju T dan berseluar pendek. Dia dipercayai mati sejak empat hingga lima jam lepas," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Abdul Jalil bagaimanapun enggan mendedahkan identiti mangsa yang berbangsa Cina itu.

Difahamkan lelaki yang belum berkahwin dan tinggal di Ampang Jaya itu telah keluar menemui kawannya di Taman Muda lewat malam tadi.

Mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk bedah siasat dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain