suria

Kes KB Mall Diserah Kepada Timbalan Pendakwa Raya

KOTA BAHARU: Polis telah menyerahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) laporan siasatan terhadap dua remaja yang dikaitkan dengan kes kereta terjunam ke dalam pasar raya KB Mall minggu lepas.

Ketua Polis Kelantan, SACI Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata keputusan akan dibuat oleh TPR tidak lama lagi sama ada untuk mendakwa atau sebaliknya terhadap remaja terbabit.

"Polis tidak boleh buat apa-apa dalam hal ini setelah siasatan dibuat dan menyerah kepada TPR," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas penahanan dua remaja ekoran kejadian sebuah kereta terhumban ke dalam pasar raya itu yang terletak di Wakaf Siku di sini pada 6 Disember lepas. Dalam kejadian Ahad lepas, dua pelajar Kolej Kejururawatan Masterskill cawangan Kelantan di sini terbunuh dan dua lagi rakannya termasuk pemandu kereta itu cedera parah, kini masih dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini.

Dua pelajar itu terbunuh setelah kereta dari tingkat tiga (tempat parkir) di KB Mall ditolak kerana rosak, hilang kawalan dan terjunam serta menghempap mereka di tingkat bawah.

Kedua-dua remaja itu yang disyaki ada kaitan dengan kejadian dikatakan menghilang diri sebaik kemalangan dan ditahan di rumah masing-masing di sini keesokannya.

Abdul Rahim berkata beliau tidak boleh mengulas lanjut perkara itu dan menyerahkan kepada TPR untuk menentukan kedudukan kes kedua-dua remaja itu.

"Kedua-dua remaja terbabit kini telah dibebaskan," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain