suria

Kayveas Buat Laporan Polis Terhadap Murugiah

PUTRAJAYA: Pertelagahan antara Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M Kayveas dan bekas anggota majlis tertinggi parti itu, Senator Datuk T Murugiah terus berpanjangan apabila Kayveas membuat empat laporan polis terhadap Murugiah dan empat yang lain hari ini.

Ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya di sini hari ini, Kayveas berkata kesemua laporan itu dibuat berikutan tindakan Murugiah dan empat bekas anggota majlis tertinggi PPP, Dr N.A.Shanmuganathan, M.Jeyaratnam, S.G.Jothi dan R.Rajendran yang didakwanya memfailkan laporan palsu terhadap beliau.

Beliau berkata tindakan sedemikian perlu diambil bagi membersihkan namanya dari terus dicemari oleh kesemua individu berkenaan.

"Saya tidak akan berdiam diri lagi dan akan mengambil tindakan ke atas mereka mengikut lunas undang-undang," katanya.

Beliau berkata kesemua empat laporan itu dibuat atas kapasiti beliau sebagai pegawai awam PPP, Presiden PPP, rakan kongsi firma guaman Tetuan Blanche & Kayveas dan orang perseorangan. "Saya juga turut membuat laporan polis bagi pihak isteri saya, Datin Blanche Olbery sebagai rakan kongsi Tetuan Blanche dan Kayveas kerana beliau kini bertugas sebagai Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Papua New Guinea," katanya.

Pada 23 Jun lepas, Shanmuganathan membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berikutan penyelewengan yang didakwa dilakukan oleh Kayveas berhubung laporan kewangan PPP.

Menurut Shanmuganathan laporan itu yang dihantar kepada Pendaftar Pertubuhan pada Mei tahun ini mengandungi beberapa fakta yang tidak benar dan mengelirukan.

Beliau turut mendakwa Kayveas telah mengambil wang parti untuk kegunaan firma guamannya.

Ketika mengulas perkara itu Kayveas berkata SPRM pada 25 November lepas telah memaklumkan kepada beliau menerusi surat bahawa aduan itu didapati tidak benar, sekaligus menutup kes itu.

"Ini adalah bukti bahawa laporan itu adalah palsu dan bertujuan untuk menjatuhkan nama baik saya semata-mata.

"Murugiah sepatutnya tidak mempunyai apa-apa jawatan lagi dalam Kabinet kerana dia telah disingkir dari parti. Bagaimana seseorang yang berada dalam kerajaan, membuat onar dalam parti politik kerajaan?" katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain