suria

Sultan Selangor Bimbang Situasi Semasa Di Negeri Selangor

KLANG: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah melahirkan rasa bimbang terhadap situasi semasa di negeri ini yang didapatinya meletakkan agenda politik mengatasi agenda pembangunan negeri. Baginda bertitah perkara-perkara kecil di negeri Selangor kadangkala dihebah dan diperbesarkan sehingga melampaui batasan dan menyebabkan rakyat di negeri itu menjadi keliru. Justeru, baginda mengingatkan semua pimpinan tertinggi negeri Selangor agar jangan banyak bercakap sahaja malah melaksanakan perkara-perkara yang berfaedah kepada rakyat di negeri itu. "Beta percaya rakyat pada masa sekarang ini lebih selesa berbincang dan bercakap mengenai pembangunan dan kesejahteraan daripada bertelagah mengenai soalsoal politik. "Oleh yang demikian, beta mengingatkan bahawa kerajaan Selangor pada masa kini adalah bertanggungjawab membina dan membuat landasan bagi keharmonian dan kesejahteraan rakyat pada masa akan datang," titah Sultan Sharafuddin pada Istiadat Penganugerahan Darjah dan Bintang Kebesaran Negeri Selangor sempena ulang tahun Hari Keputeraan baginda yang ke-64 di Istana Alam Shah di sini hari ini. Sultan Selangor turut menyeru Menteri Besar Selangor dan barisan exconya agar melaksanakan tugas-tugas mentadbir dan membangunkan negeri dengan penuh dedikasi serta sentiasa mempercayai dan bekerjasama bersama penjawat-penjawat awam lain yang berkhidmat di negeri itu. "Masa untuk mencari kesalahan dan kelemahan telah berlalu dan telah tiba pula masanya untuk kerajaan sekarang melaksanakan segala perancangan dan janji-janji yang dibuat ketika berkempen (pada pilihan raya umum lepas) dan mengatasi semua masalah yang dihadapi rakyat demi kemajuan dan kemakmuran negeri ini," titah baginda. Sultan Sharafuddin juga berharap perbezaan fahaman politik tidak akan menjadi satu alasan kepada rakyat di Selangor untuk saling hormat-menghormati antara satu sama lain dan hidup bersatu padu demi kemajuan dan kesejahteraan bersama. "Beta ingin menasihatkan rakyat negeri Selangor ini, jika ada perkara yang (mereka) tidak berpuas hati, hendaklah disalurkan pendapat atau rintihan mengikut saluran-saluran yang disediakan, mengikut undang-undang bagi dibincang dan diselesaikan ke tahap yang memuaskan hati," titah baginda. Titah baginda, rakyat di negeri Selangor juga harus bebas bergerak dan tidak merasa takut atau khuatir terhadap keselamatan diri, harta benda dan keluarga. Justeru, baginda menitahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar terus menjalankan tugas-tugas mereka dengan penuh azam dan komitmen bagi menghapuskan jenayah di Selangor. Sultan Sharafuddin turut menasihatkan waris-waris dan kerabat Diraja Selangor supaya sentiasa menjaga nama baik dan tidak melakukan sesuatu yang akan menjejaskan imej serta kedudukan mereka sebagai kaum kerabat diraja. "Reputasi dan nama baik hendaklah sentiasa dipelihara daripada perkara-perkara negatif kerana nama yang baik adalah satu aset yang berharga kepada individu dan juga institusi Istana Selangor," titah baginda. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Adun Melor Kini Dirawat Di HUSM

Artikel Lain