suria

Simpang Renggam: Menteri Tidak Layan Tuntutan MIC

SEREMBAN: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata mereka yang dihantar ke Pusat Tahanan Simpang Renggam, Johor, adalah kerana perbuatan melanggar undang-undang dan tiada kaitan sama sekali dengan warna kulit.

Oleh hal demikian, katanya, beliau tidak akan melayan permintaan mana-mana pihak supaya kerajaan menutup pusat tahanan berkenaan.

"Mereka yang dihantar ke pusat tahanan itu disebabkan melanggar undang-undang dan tidak ada kena mengena dengan warna kulit, ideologi politik atau agama," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Agung Persatuan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang ke89 di sini hari ini.

MIC hari ini meminta kerajaan menutup Pusat Tahanan Simpang Renggam di Johor kerana mendakwa ia tidak berkesan dalam memulihkan tahanan sebaliknya menjadi sarang pembiakan penjenayah.

Menyentuh tentang cadangan meminda Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), beliau berkata rang undang-undang pindaan mungkin dibentangkan pada sesi Parlimen akan datang.

"Saya puas hati dengan pendekatan untuk berjumpa dengan pihak-pihak berkepentingan. Saya amat gembira dengan input-input yang diberikan. Hari ini kita tengok sebenarnya perkara pokok dalam ISA ini banyak berkisar pada lima perkara sahaja," katanya.

Perkara-perkara itu yang menjadi kebimbangan ialah kuasa menteri, kebimbangan ISA digunakan untuk tujuan politik, layanan terhadap tahanan dan keluarga serta tahanan tanpa bicara, katanya.

"Kalau itu menjadi perkara yang terbuku (di hati), saya rasa kita boleh bawa pindaan ini secepat mungkin...pada sesi yang akan datang di mana kita bentang dan kita bahaskan sekali," katanya.

Sementara itu, dalam kenyataannya, Hishammuddin berkata, pelbagai kenaikan elaun dan insentif yang diluluskan oleh kerajaan untuk PDRM membabitkan peruntukan sebanyak RM166 juta.

Kementerian juga mendapat kelulusan pada 1 Disember lepas untuk membuat pembayaran semula kepada anggota dan pegawai yang membiayai sendiri pembelian pakaian seragam mereka pada tahun 2005 dan 2006 berjumlah RM14 juta, katanya.

Beliau juga berkata polis akan melihat pertambahan peluang kenaikan pangkat di mana pada tahun ini sahaja, 2,254 anggota dan pegawai diluluskan pemangkuan dan kenaikan.

Katanya 1,031 kenaikan melibatkan pegawai berpangkat Penolong Penguasa Polis (ASP) ke atas. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Adun Melor Kini Dirawat Di HUSM

Artikel Lain