suria

Penghulu Boleh Pantau Harga Barang

KUALA LUMPUR: Menerusi kad kuasa yang diberikan kepada mereka, para penghulu dan penggawa mempunyai kuasa untuk memantau harga barangan di tempat masing-masing.

Namun kad kuasa itu tidak memberi kuasa kepada mereka untuk mengeluarkan sebarang kompaun kepada peniaga tetapi sebaliknya mereka perlu membuat aduan kepada pegawai penguatkuasa kementerian untuk tindakan lanjut, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Ismail Sabri Yaakob.

"Kita mahu mereka menjadi mata dan telinga kementerian. Mereka boleh masuk ke premis perniagaan dan pasar malam untuk membandingkan harga barangan dan melakukan soal-siasat kepada peniaga jika ada sebarang penipuan atau penyelewengan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis bersama penghulu di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata pemberian kad kuasa itu diharap dapat mengurangkan beban 2,000 orang pegawai penguatkuasa kementerian berkenaan di seluruh negara.

"Kementerian hanya mempunyai seramai 2,000 orang pegawai penguatkuasa dan kebiasaannya mereka hanya dapat menjalankan penguatkuasaan di bandar-bandar sahaja.

"Penghulu amat dihormati penduduk kawasan masing-masing, usaha pemantauan yang tidak dapat dapat dilaksanakan pegawai penguatkuasa di luar bandar mampu dilakukan mereka," kata Ismail Sabri.

Seramai 248 orang penghulu dan penggawa dari Perlis, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang dan Terengganu menghadiri majlis itu.

Majlis dua hari itu yang bermula hari ini bertujuan menerangkan tentang bidang kuasa penghulu dan penggawa dari segi perundangan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Adun Melor Kini Dirawat Di HUSM

Artikel Lain