suria

Najib Saran DRBHicom Gubal Strategi Perniagaan Strategik Industri Automotif

PEKAN: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Kumpulan DRBHicom Berhad perlu menggubal strategi perniagaan lebih strategik bagi meneruskan kelangsungan kejayaan dalam industri automotif yang begitu kompetitif.

Perdana Menteri berkata DRBHicom tidak seharusnya kekal dengan strategi sedia ada walaupun telah membawa kejayaan sejak tempoh 25 tahun pembukaan kompleks automotifnya di Peramu Jaya di sini.

Beliau sebaliknya berkata, mereka perlu melaksanakan strategi bagi menghadapi tempoh 25 tahun akan datang.

"Kita tidak boleh kekal dengan strategi yang berjaya pada 25 tahun dulu sebaliknya kita perlu ambil pendekatan dinamik dan terkini untuk diguna pakai bagi menjamin kejayaan pada 25 tahun akan datang," katanya ketika berucap pada majlis Sambutan Ulang Tahun ke25 Kompleks Automotif DRBHicom Pekan di sini hari ini.

Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah berkenan merasmikan kompleks Automotif DRBHicom itu. Yang turut dihadir ialah Sultanah Pahang Sultanah Kalsom, Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah, Tengku Puan Pahang Tengku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Mengimbau sejarah, Perdana Menteri berkata industri automotif mula bertapak di Pekan sejak 33 tahun lepas menerusi pembukaan kilang Tatab Industries Sdn Bhd di Peramu Jaya pada 1976.

Selepas tiga dekad, Najib berkata industri itu mula menunjukkan perkembangan dan kemajuan memberangsangkan terutama di bawah kumpulan DRBHicom yang berupaya mewujudkan kompleks automotifnya sendiri pada 1984.

Selain menawarkan peluang pekerjaan kepada kirakira 2,200 pekerja, khususnya rakyat Pekan, beliau berkata kompleks itu juga telah berjaya mengeluarkan hampir 500,000 kenderaan sejak kewujudannya.

"Kemuncaknya ialah bukan hanya pengeluar terkenal seperti Isuzu dan Suzuki tetapi Mercedez Benz turut memberi peluang memasang pelbagai jenis model termasuk kelas S500 yang paling tinggi nilainya.

Katanya ia menunjukkan kemampuan pekerja dan teknologi yang diguna pakai kumpulan itu setanding dengan piawaian antarabangsa.

Selain itu, katanya, kompleks berkenaaan juga merupakan penyumbang kepada kesejahteraan negara melalui duti eksais dan cukai jualan yang meningkat sebanyak 78 peratus daripada RM178 juta pada 2005 kepada RM442 juta tahun lepas.

Ia dijangka mencecah RM525 juta pada tahun ini, katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Adun Melor Kini Dirawat Di HUSM

Artikel Lain