suria

Majlis Peguam Bantah Sistem Terlalu Menekankan KPI

KUALA LUMPUR: Majlis Peguam membantah trend kehakiman kebelakangan ini menggunakan pendekatan Petunjuk Pencapaian Utama (KPI) untuk menyelesaikan kes mahkamah dengan cepat.

Presidennya, K.Ragunath berkata keadilan dan keseluruhan kualiti kehakiman telah diabaikan disebabkan terlalu memikirkan kes diselesaikan dengan cepat dan kebergantungan kepada KPI.

"Ketua Hakim Negara disaran mengkaji semula dengan segera pelaksanaan inisiatif ini, dan bekerja dengan Majlis Peguam untuk menekankan pada kualiti dan integriti terhadap kuantiti dalam pentadbiran kehakiman dan bagi memastikan keadilan tidak boleh diabaikan kerana terlalu memikirkan mengenai kecepatan dan kepatutan," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung luar biasa (EGM) Majlis Peguam itu di sini hari ini.

Dua usul diluluskan pada EGM itu; satu mengenai isu KPI yang dicadangkan oleh Ragunath dan Tommy Thomas dan kedua berkaitan lot parkir kereta di setiap kompleks mahkamah oleh Jason Kay.

Usul mengenai KPI dibentangkan setelah Majlis Peguam menerima banyak aduan daripada anggotanya terhadap sistem kehakiman baru itu, dengan walau apa pun, keskes di mahkamah mesti diteruskan dan penangguhan tidak dibenarkan. Ragunath berkata walaupun Majlis Peguam menyokong langkah itu yang dibuat oleh Ketua Hakim Negara Tun Zaki Tun Azmi untuk kes-kes itu diselesaikan dengan cepat, kesukaran hendaklah dielakkan kepada anggotanya dan litigan.

"Penangguhan kes merupakan budibicara hakim, tetapi ia mestilah digunakan sewajarnya, adil, munasabah dan berani dalam semua aspek. Jika peguam sakit, itu adalah alasan munasabah kes tersebut ditangguhkan," kata beliau.

"KPI hendaklah menjadi satu petunjuk kepada hakim dalam mengendalikan kes-kes, hakim janganlah mensasarkan terlalu rendah atau terlalu tinggi. Jika hakim mensasarkan empat (kes untuk diselesaikan dalam sebulan) tetapi pencapaian 12, adakah beliau seorang hakim yang bagus?" katanya.

Beliau juga menjemput anggota Majlis Peguam untuk menduduki jawatankuasa pakar mahkamah bagi tiga mahkamah superior, di mana tanggungjawab mereka adalah untuk menjadi penghubung dengan mahkamah mengenai kecekapan pentadbiran dalam meningkatkan kualiti kehakiman.

Mengulas "Sistem Pengesanan" (satu sistem mahkamah untuk perbicaraan awal dan menyelesaikan kes) yang Tun Zaki perkenalkan semula kepada mahkamah, Ragunath berkata: "kita sokong inisiatif ini tetapi ia tidak diuruskan dengan sewajarnya disebabkan kekurangan kakitangan." Beliau berkata kes mahkamah ini boleh diselesaikan dalam masa tiga tahun, berbanding enam hingga lapan tahun sebelum ini.

Mengenai usul lot parkir, ia dipersetujui oleh anggota bahawa lot untuk peguam di ssetiap kompleks mahkamah diperuntukkan kepada mereka dan pihak yang berkaitan dalam sesuatu kes.

"Kereta perlu diletakkan dalam jarak kawasan yang munasabah kerana peguam terpaksa membawa fail dan beg ke mahkamah," menurut usul itu.

Ragunath berkata dua usul itu akan dikemukakan kepada Ketua Hakim Negara tidak lama lagi.

EGM itu dihadiri lebih 500 anggota Majlis Peguam. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Adun Melor Kini Dirawat Di HUSM

Artikel Lain