suria

Kenaikan Yuran Makan Strategi Kementerian Kurangkan Bajet

KUALA LUMPUR: Langkah Kementerian Pelajaran menaikkan yuran makan bagi pelajar asrama daripada RM1 kepada RM3 sehari mulai tahun depan merupakan antara strategi untuk mengurangkan bajet bagi tahun depan, kata Ketua Setiausaha Kementerian berkenaan Tan Sri Zulkurnain Awang.

"Melalui cara ini kita dapat mengurangkan perbelanjaan memandangkan peruntukan bajet dalam bidang pendidikan dikurangkan tahun depan.

"Bahkan banyak lagi perkara lain yang boleh diteliti untuk dikurangkan di masa depan seperti berjimat pada benda-benda yang tidak memberi kesan tinggi dalam bidang pendidikan," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Pendidikan Lepasan Sekolah di sini hari ini, beliau berkata pengurangan bajet ini juga tidak akan menjejaskan keseluruhan kualiti dan perkhidmatan oleh kementerian dalam bidang pendidikan.

Kenaikan yuran sebanyak 200 peratus itu hanya melibatkan penjaga dan ibu bapa yang berpendapatan RM5,000 ke atas, justeru langkah penjimatan ini tidak akan membebankan, katanya.

Zulkurnain berkata demikian ketika diminta mengulas kenaikan yuran makan asrama yang diumumkan Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom semalam.

Kenaikan itu melibatkan murid di asrama harian, sekolah berasrama penuh (SBP), sekolah teknik dan vokasional, sekolah sukan, sekolah seni dan sekolah agama bantuan kerajaan.

Bagaimanapun ibu bapa atau penjaga dengan jumlah pendapatan RM4,999 ke bawah sebulan kekal RM1 sehari.

Zulkurnain terdahulu merasmikan pameran pendidikan terbesar akhir tahun di mana 300 gerai pameran dibuka bertujuan memberi informasi berkenaan institusi pengajian tinggi dalam negara.

Antara IPT yang mengambil bahagian dalam pameran tersebut ialah Berjaya University, SEGi College, Universiti Malaya dan Kolej Damansara Utama (KDU). - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Adun Melor Kini Dirawat Di HUSM

Artikel Lain