suria

Dua Rakyat Bangladesh Maut Dalam Kemalangan

IPOH: Dua rakyat Bangladesh maut manakala dua lagi parah apabila kereta yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan di Km10 Jalan Pantai Remis-Ayer Tawar, 120 km dari sini hari ini.

Selim Kazi, 37, dan Nurul Amin Abdul Razak, 26, cedera parah di kepala dan mati di tempat kejadian. Mayat mereka dihantar ke Hospital Manjung untuk bedah siasat.

Dua yang parah dalam kejadian pada pukul 8.30 pagi itu ialah pemandu kereta berkenaan, M. Balakrishnan, 64, dan seorang lagi penumpang rakyat Bangladesh yang hanya dikenali sebagai Ershad, 21.

Kedua-dua mereka kini dirawat di Hospital Manjung, kata jurucakap polis ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata kejadian dilapor berlaku apabila kereta yang dalam perjalanan dari Pantai Remis menghala ke Ayer Tawar itu merempuh belakang lori kelapa sawit yang juga dari arah yang sama.

Akibat hentakan kuat, bahagian depan kereta jenis Proton Iswara terbabit remuk teruk menyebabkan kesemua mangsa tersepit di celah kenderaan itu dan terpaksa dikeluarkan oleh anggota Bomba dan Penyelamat, katanya.

Pemandu lori itu, yang ketika kejadian dalam perjalanan ke tempat kerja di sebuah ladang kelapa sawit, tidak cedera. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Adun Melor Kini Dirawat Di HUSM

Artikel Lain