Wanita Warga Emas Ditemui Mati Dipercayai Disamun - Semasa | mStar

Wanita Warga Emas Ditemui Mati Dipercayai Disamun

KUALA LUMPUR: Seorang wanita warga emas ditemui mati dengan kesan kelar pada leher dan tangan dipercayai disamun di rumahnya di Taman Setapak Indah, di sini malam semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Supt Zainuddin Ahmad berkata mangsa M. Rukumini, 61, ditemui terbaring dengan berlumuran darah di dalam rumah kira-kira pukul 8 malam oleh anaknya yang baru pulang dari kerja.

"Polis tidak menemui sebarang senjata namun percaya suspek menggunakan senjata tajam untuk mencederakan mangsa dan siasatan masih dijalankan," katanya ketika ditemui pemberita di rumah mangsa, malam semalam.

Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Difahamkan, sebelum kejadian mangsa didatangi seorang lelaki bertopi keledar yang memanjat pagar rumah tersebut dan ketika itu, mangsa bersendirian kerana suaminya kini berada di India melawat keluarganya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain