suria

SPM: Kabinet Mahu Perbincangan Lanjut Diadakan

PETALING JAYA: Kabinet hari ini memberi lampu hijau kepada Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam untuk terus mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pelajaran bagi menyelesaikan pertikaian berhubung keputusan kementerian menetapkan had jumlah mata pelajaran peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Dr Subramaniam berkata Kabinet telah meminta beliau untuk mencari jalan bagi menyelesaikan isu, yang tegasnya, mestilah adil kepada semua pelajar.

"Inilah pandangan Kabinet. Kami (Kabinet) meluangkan masa kira-kira 15 minit membincangkan perkara ini dan memutuskan apa jua keputusan yang akan diambil mestilah adil kepada semua pelajar, termasuk mereka yang mengambil hanya 10 mata pelajaran," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penutup Bengkel Pencegahan Jenayah anjuran Pemuda MIC di sini.

Pertikaian timbul setelah Kementerian Pelajaran memutuskan untuk menghadkan jumlah mata pelajaran untuk peperiksaan SPM kepada hanya 10.

Namun, pada minggu lepas Dr Subramaniam memohon kepada Kabinet untuk menyemak semula keputusan dan Kabinet membenarkan pelajar SPM mengambil maksimum 12 mata pelajaran atau apa yang diistilahkan kementerian sebagai 10 tambah dua.

Beberapa badan pertubuhan bukan kerajaan (NGOs) bagaimanapun masih tidak berpuas hati kerana mereka mendakwa keputusan itu meminggirkan subjek bahasa ibunda seperi bahasa Cina dan Tamil serta Kesusasteraan Tamil, yang akan diambil sebagai mata pelajaran tambahan oleh sebilangan pelajar.

Ini kerana, hujah mereka kerana walaupun kementerian membenarkan maksimum 12 mata pelajaran, hanya 10 mata pelajaran utama akan dipertimbangkan untuk biasiswa kerajaan.

Dr Subramaniam berkata Kabinet berpendapat walaupun penyelesaian isu itu diperlukan, ia mestilah mengambil kira hasrat dan keputusan semua pelajar dan bukan hanya sebilangan pelajar.

Menteri Sumber Manusia itu berkata 30 peratus pelajar India yang menduduki SPM akan mengambil sama ada bahasa Tamil atau Kesusasteraan Tamil atau kedua-duanya.

"Saya akan meneruskan perbincangan saya Kementerian Pelajaran sehinggalah satu penyelesaian dapat ditemui," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

2009 Penuh Cabaran Bagi SPRM

Artikel Lain