suria

JAIS Akan Ikut Prosedur Mahkamah - Khusrin

SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tetap dengan pendirian untuk mengekalkan dakwaan terhadap bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Syariah di sini.

Pengarah JAIS, Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata, JAIS akan ikut segala prosedur yang ditetapkan mahkamah walaupun keputusan Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur menolak untuk memindahkan kes mengajar tanpa tauliah ke Mahkamah Tinggi Syariah di sini.

"JAIS akan ikut segala prosedur yang ditetapkan oleh mahkamah, sama ada memindahkan kes tersebut adalah urusan mahkamah dan kita tetap dengan pendirian, bukan main-main," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kad Perakuan Nikah Negeri Selangor di Bangunan Sultan Idris Shah, petang semalam.

Menurutnya, JAIS mengikut undang-undang sedia ada iaitu Enekmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) yang telah ditetapkan.

"Saya telah diamanahkan untuk menggerakkan JAIS dan jika berlaku perkara yang melanggar peraturan, kita tetap akan ambil tindakan.

"Setiap bulan kita masih keluarkan tauliah, jadi tiada masalah yang kami terima daripada pemohon-pemohon, perkara ini sudah dijelaskan, selagi mereka mematuhi peraturan selagi itu masalah tidak timbul," katanya ketika ditanya berhubung isu kreteria tauliah yang dikeluarkan JAIS.

Terdahulu, Dr Mohd Asri semalam mengemukakan bantahan awal terhadap permohonan semakan oleh pihak pendakwa berhubung keputusan Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur yang menolak untuk memindahkan kes mengajar tanpa tauliah ke Mahkamah Tinggi Syariah di sini.

Bekas Mufti Perlis itu dituduh mengajar agama Islam tanpa tauliah di sebuah kediaman di Lorong 2 C, Taman Sri Ukay, Ampang, antara 8.10 malam dan 9.45 malam pada 1 November lepas.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

2009 Penuh Cabaran Bagi SPRM

Artikel Lain