suria

GRO Asing Ditahan Kerana Tiada Permit Kerja Sah

KUALA LUMPUR: Sembilan belas wanita warganegara asing, yang dipercayai terbabit dalam kegiatan pelacuran, ditahan polis kerana tidak mempunyai permit kerja sah dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Changkat Bukit Bintang, di sini awal pagi ini.

Kesemua wanita berumur dalam lingkungan 20 hingga 30 tahun itu terdiri daripada warganegara Filipina, Thailand, China dan Vietnam diberkas dalam operasi dua jam yang berakhir kira-kira 3 pagi ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata ketika serbuan itu, mereka sedang melayan pelanggan dan tidak menyedari kehadiran polis.

Polis turut menahan seorang lelaki tempatan berumur 30-an yang mengurus premis itu kerana kesalahan membenarkan pekerja warganegara asing bekerja tanpa permit sah di premis itu.

Premis itu mempunyai lesen hiburan yang sah sehingga 30 Jun depan, katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ku berkata dalam operasi itu, yang disertai dua pegawai dan lapan anggota, polis menahan seorang pekerja premis warganegara Myanmar yang cuba melarikan diri selepas didapati tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

"Kita juga menahan sekumpulan enam lelaki tempatan yang membuat kecoh semasa serbuan dibuat apabila mereka membaling kiub ais ke arah dinding sehingga mengganggu tugas polis," katanya.

Bagaimanapun, katanya, ujian saringan air kencing terhadap lelaki berkenaan negatif dadah. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

2009 Penuh Cabaran Bagi SPRM

Artikel Lain