suria

Gangguan Bekalan Elektrik Di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah

KUALA LUMPUR: Kerosakan kabel Pencawang Masuk Utama (PMU) di kawasan Subang dekat sini mengakibatkan bekalan elektrik di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah terjejas kira-kira dua jam mulai 6.40 petang semalam.

Jurucakap Tenaga Nasional Berhad (TNB) berkata kejadian itu menyebabkan keseluruhan bekalan elektrik terputus di kawasan lapangan terbang itu.

"Bagaimanapun, keadaan kembali pulih pada 8.55 malam di kawasan terlibat setelah petugas TNB melakukan pemeriksaan di situ. Lapangan terbang Subang mempunyai 'generator set' bagi menyambung bekalan elektrik yang terjejas itu," katanya ketika dihubungi semalam.

Sementara itu, jurucakap lapangan terbang itu berkata gangguan bekalan elektrik itu tidak menjejas sistem pengurusan penerbangan kerana tiada penerbangan dalam tempoh itu.

Beliau berkata lima penerbangan dalam negara dan dari Singapura dapat mendarat dengan selamat semasa kejadian itu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

2009 Penuh Cabaran Bagi SPRM

Artikel Lain