suria

Dua Kumpulan Remaja Samun Di Brickfields Lumpuh

KUALA LUMPUR: Polis percaya dapat melumpuhkan kegiatan samun oleh dua kumpulan remaja di sekitar Brickfields apabila menahan mereka secara berasingan baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Supt Azri Abd Rahman berkata dalam kes pertama pada 30 November lepas, rumah seorang staf tentera di kuarters Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Pangkalan Sungai Besi disamun suspek yang memecah masuk dengan mengumpil selak cermin tingkap rumahnya.

"Mangsa bercuti pada 25 November lepas dan ketika pulang lima hari kemudian, dia mendapati cermin tingkap rumahnya diumpil.

"Pemeriksaan lanjut mendapati barang kemas milik mangsa bernilai kira-kira RM6,000 yang mengandungi dua utas rantai emas, dua loket emas, seutas rantai tangan emas dan sebuah cincin hilang," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata bertindak atas maklumat dan risikan, polis dapat memberkas empat remaja lelaki berumur antara 15 dan 18 tahun di hadapan pondok pengawal kuarters di lapangan terbang itu.

Siasatan awal mendapati kesemua suspek termasuk seorang anak staf di kuarters itu, terlibat dalam enam kes pecah rumah di kawasan terbabit, katanya.

Beliau berkata hasil siasatan lanjut, seorang lagi anggota kumpulan itu dan enam lelaki dipercayai pembeli barangan samun ditahan di sekitar Brickfields pada 4 Disember lepas.

Azri berkata polis turut merampas dua komputer riba, dua pengecas komputer itu, sebuah kamera digital, seutas rantai emas, sebuah video kamera, sebuah telefon bimbit dan dua loket emas yang kesemuanya bernilai RM15,000 daripada pembeli berkenaan.

Mereka kini ditahan untuk siasatan lanjut dan akan didakwa tidak lama lagi, katanya.

Sementara itu, sebuah lagi kumpulan remaja berlagak gengster dilumpuhkan apabila sembilan daripada 20 orang anggota kumpulan itu ditahan di kawasan Projek Perumahan Rakyat Kerinchi di Pantai Dalam pada 1 Disember lepas.

Beliau berkata sebelum itu seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun mendakwa dia dan seorang rakannya disamun oleh sekumpulan 19 orang lelaki dan seorang remaja perempuan di sebuah jambatan berhampiran sebuah pusat membeli belah dekat Brickfields pada petang 28 November lepas.

Mangsa dikatakan digertak dan diugut supaya menyerahkan barang-barang berharga dengan seorang daripada suspek mengancam mangsa dengan parang manakala seorang lagi menumbuk muka mangsa.

"Kesemua suspek kemudian melarikan diri selepas merampas dua telefon bimbit dan wang sebanyak RM60 daripada keduadua mangsa dan mangsa dapat mengecam seorang dari suspek itu," katanya.

Bertindak atas maklumat itu, polis menyerbu kawasan perumahan itu dan menahan lapan remaja lelaki dan seorang remaja perempuan yang kesemuanya berumur antara 15 dan 31 tahun, katanya.

Azri berkata siasatan lanjut mendapati suspek mengaku terlibat dalam lebih 18 kes samun di sekitar Brickfields sejak Januari hingga November tahun ini dan mereka ditahan untuk siasatan lanjut manakala baki anggota kumpulan itu kini diburu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

2009 Penuh Cabaran Bagi SPRM

Artikel Lain