suria

Akta Pemajuan Perumahan Mungkin Dipinda - Kong

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mengkaji untuk meminda Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 bagi menangani isu projek perumahan terbengkalai di negara ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Kong Cho Ha semalam berkata kajian itu antara lain mencari kaedah baru untuk menstruktur semula jadual pembayaran progresif pembelian rumah supaya kes pemaju gagal menyiapkan projek perumahan dapat dielak.

"Matlamat ini telah dipertanggungjawabkan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan oleh Perdana Menteri (Datuk Ser Najib Tun Razak) bagi merealisasikan objektif Bajet 2010," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Inovasi dan Perhimpunan Akhir 2009 kementerian itu di sini.

Terdahulu, dalam ucapannya Kong berkata terdapat 148 projek swasta yang terbengkalai melibatkan 49,913 unit rumah dan 31,824 pembeli rumah di seluruh negara.

"Sebanyak 12 projek terbengkalai diselesaikan iaitu enam projek disiapkan dengan Sijil Layak Menduduki (CFO), tiga projek melibatkan penukaran pemaju manakala tiga projek dibatalkan dan wang deposit telah dipulangkan kepada pembeli rumah," katanya.

Kong berkata menjelang hujung tahun ini, kementerian melalui Jabatan Perumahan Negara dijadual menyiapkan 8,840 unit rumah projek perumahan rakyat (PPR) untuk disewa.

Beliau berkata Jabatan Kerajaan Tempatan telah mengenal pasti tujuh projek perintis sistem Pusat Sehenti Online (OSC) yang akan menyediakan perkhidmatan dalam talian di dalam permohonan cadangan pemajuan.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur akan menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama yang melancarkan OSC Online itu, katanya.

PBT lain yang dijangka melancarkan sistem itu ialah Majlis Bandaraya Johor Bahru, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Majlis Perbandaran Sungai Petani, Majlis Perbandaran Alor Gajah dan Majlis Perbandaran Kuantan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

2009 Penuh Cabaran Bagi SPRM

Artikel Lain