suria

Penjualan Diesel Dan Petrol Di Sempadan Dihadkan

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengehadkan penjualan minyak diesel dan petrol di sempadan negara termasuk di Sabah dan Sarawak dalam masa terdekat bagi membendung kegiatan penyeludupan bahan api tersebut yang dikesan kembali aktif ketika ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata antara langkah itu ialah melarang penjualan minyak diesel dan petrol melebihi 20 liter kepada setiap kenderaan dari luar negara di kawasan dalam lingkungan 50km dari sempadan negara.

"Pemilik kenderaan juga tidak dibenar melintasi sempadan dengan minyak melebihi 20 liter dalam tangki," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen di sini, semalam. Ismail Sabri berkata arahan itu tertakluk di bawah Peraturan Barang Kawalan (Larangan Eksport) 2000, iaitu pemilik kenderaan atau pengusaha stesen minyak yang ingkar boleh dikenakan tindakan seperti kereta ditahan dan dirampas serta lesen perniagaan ditarik balik.

Beliau berkata surat arahan akan diedar kepada semua pembekal atau pengusaha stesen minyak secepat mungkin manakala notis pemberitahuan akan diberi kepada pemilik kenderaan yang memasuki sempadan negara ketika mereka mendapatkan cop pengesahan kemasukan di kaunter Imigresen di sempadan.

Mengenai rasional di sebalik langkah itu, Ismail Sabri berkata beliau mendapat laporan terdapat banyak kejadian penyeludupan dan ketirisan minyak petrol berlaku di kawasan sempadan negara, terutama di sempadan Thailand.

"Bagi membendung kegiatan itu kementerian memutuskan untuk menguatkuasakan arahan mengehadkan penjualan minyak. Kita tidak mahu subsidi minyak yang sepatutnya dinikmati rakyat turut diperoleh orang luar kerana ia tidak adil kepada kerajaan dan rakyat sebagai pembayar cukai," katanya.

Malaysia merupakan negara yang menawarkan harga terendah dalam penjualan diesel dan petrol berbanding negara jiran.

Harga diesel di Malaysia dijual pada kadar RM1.70 seliter berbanding Thailand RM2.76, Singapura RM3.04, Indonesia RM2.58 dan Filipina RM3.99 manakala untuk petrol RON95 Malaysia menawarkan harga RM1.80 seliter, Thailand RM4.01, Singapura RM4.31, Indonesia RM2.26 dan Filipina RM5.45.

Ismail Sabri berkata perbezaan harga yang ketara itu menyebabkan berlakunya aktiviti penyeludupan dan pembelian luar biasa banyak di dalam negara.

Sehubungan itu beliau mengingatkan pihak terlibat supaya tidak mengingkari arahan itu demi kebaikan bersama dan kementerian juga katanya akan menempatkan petugasnya di stesen-stesen minyak bagi memantau keadaan.

"Saya bagi amaran kepada pengusahapengusaha minyak di kawasan sempadan supaya tidak menyalahguna hak yang diberi kepada mereka untuk menanggung orang luar dengan menikmati subsidi yang diberi kerajaan," katanya.

Ismail Sabri berkata bagi memastikan arahan itu terlaksana, kementerian juga akan meningkatkan kerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP).

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan yang arahan itu tidak akan berjaya menghapuskan aktiviti penyeludupan minyak sepenuhnya, tetapi yakin sekurang-kurangnya akan mengurangkan bilangan kes itu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain