suria

Pembangunan Pesat Ancam Pengetahuan Perubatan Tradisonal

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Tan Seri Joseph Kurup berkata pengetahuan perubatan tradisional berkaitan sumber biologi semakin terancam di kalangan masyarakat Orang Asli berikutan pembangunan yang pesat.

“Akibatnya, masyarakat ini kian lupa untuk mengunakan ilmu pengetahuan tradisi berunsur perubatan,” tambah beliau selepas menyaksikan majlis tandatangan perjanjian persefahaman (MoU) antara Institut Penyelidikan Perhutanan(FRIM) dan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli, hari ini.

MoU itu ditandatangani untuk tujuan penyelidikan perubatan serta tanaman yang digunakan oleh masyarakat Orang Asli di Semenanjung Malaysia.

Dana berjumlah RM 600,000 telah diperuntukan untuk kajian tersebut.

Joseph yang mewakili Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Douglas Unggah Embas, berkata, MoU itu berkait rapat dengan projek pengetahuan tradisi sumber biologi, yang akan dilaksanakan antara dua jabatan itu.

“Secara tidak langsung, kerjasama ini juga akan mempertingkatkan usaha ke arah mengukuhkan pemuliharaan dan penjagaan pengetahuan tradisi berkaitan sumber biologi antara lain melalui aplikasi saintifik,” tambahnya.

Sementara itu, Joseph berkata sumber biologi perubatan tradisional masyarakat Orang Asli di seluruh Semenanjung Malaysia boleh dibangunkan untuk penggunaan dan aplikasi dalam industri perubatan, farmaseutikal, bioteknologi dan kosmetik yang dikenalpasti dalam Rancangan Malaysia ke-9.

“Ilmu pengetahuan masyarakat Orang Asli ini wajar dikekalkan dan dikaji untuk dimanfaatkan oleh generasi akan datang," katanya.

Tambahnya lagi, ini juga sejajar dengan langkah negara kita yang menganggotai Konvensyen Diversiti Biologikal Diversity (CBD).

“CBD merupakan perjanjian alam sekitar antarabangsa pertama memberi pangakuan kepada kepentingan pengetahuan tradisi berkaitan sumber biologi dari segi pemuliharaan alam dan penggunaannya.

“Oleh itu, kerajaan telah mewujudkan Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan pada tahun 1998. Ini memberi penekanan kepada pengetahuan tradisi berkaitan sumber biologi sebagai warisan budaya yang digunakan secara berkekalan di kalangan masyarakat peribumi,” kata Joseph.

Artikel Sebelum

Artikel Lain