suria

Mayat Lelaki Pakistan Ditemui Dengan Perut Terburai

PETALING JAYA: Seorang lelaki rakyat Pakistan ditemui mati dengan perut terburai dan ditutup dengan tilam di rumah sewanya di Pangsapuri Damai, Jalan PJS8, di sini hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Supt Abd Razak Elias berkata mayat lelaki berumur dalam lingkungan 20-an itu ditemui oleh seorang ejen hartanah yang datang untuk mendapatkan wang sewa rumah pada pukul 12.30 tengah hari.

"Sebaik tiba di rumah itu, ejen berkenaan mengetuk pintu rumah tetapi tiada jawapan. Dengan bantuan seorang rakan, mereka memecahkan pintu untuk memasuki rumah terbabit.

"Ketika masuk ke sebuah bilik, ejen itu terhidu bau busuk yang sangat kuat dan terus keluar untuk memanggil polis," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Beliau berkata menurut ejen itu, mangsa menyewa rumah terbabit bersama seorang lagi rakan senegaranya sejak 6 November lepas dan berjanji akan menyerahkan wang pendahuluan sewa sebanyak RM1,350.

Mangsa juga berjanji akan menyerahkan salinan pasportnya kepada ejen itu dengan segera kerana perlu bekerja di luar kawasan, katanya.

Beliau berkata ejen berkenaan cuba menghubungi mangsa sejak 28 November lepas bagi mendapatkan wang dan dokumen itu, tetapi gagal menyebabkan ejen terbabit meninggalkan notis peringatan kepada mangsa di bawah pintu rumah itu bagi memaklumkan yang beliau akan datang semula hari ini.

Abd Razak berkata tiada senjata dan kesan pergelutan ditemui di tempat kejadian.

Siasatan awal polis mendapati mangsa bekerja sebagai pelayan di sebuah restoran di Shah Alam, dan rumahnya kerap dikunjungi rakan-rakan senegaranya, katanya.

Polis kini menjejaki rakan-rakan senegara lelaki itu untuk membantu siasatan dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi polis, katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain