suria

Hakim Tegur Peguam

KUALA LUMPUR: Tindakan seorang peguam, yang membandingkan jumlah kerugian kecil mangsa rompakan bagi mendapatkan jaminan untuk anak guamnya, ditegur Hakim Mahkamah Sesyen Asmadi Hussin hari ini.

Asmadi berkata harga sebuah telefon bimbit yang didakwa dirompak oleh P. Kumaresan, 35, M. Peter Anthony, 48, dan V. Armugam, 35, memang kecil tetapi menurut pertuduhan, kejadian itu melibatkan senjata seperti pisau lipat, kerusi kayu dan sebatang kayu panjang.

Peguam S. Narasimhan, yang mewakili Armugam, berkata penggunaan senjata itu belum terbukti dan dipersetujui oleh Asmadi yang bagaimanapun berkata beliau memandang berat pertuduhan itu.

Ketigatiga tertuduh didakwa bersamasama dengan seorang lagi, yang masih bebas melakukan rompak berkumpulan menggunakan senjata ke atas Ariffin Abdullah, 48, membabitkan sebuah telefon bimbit bernilai RM250 di tepi jalan berdekatan Restoran Putra, Jalan Putra, Dang Wangi di sini pada pukul 3 petang 3 Disember lepas.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Lokman Kassim memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM15,000 bagi setiap tertuduh tetapi Narasimhan merayu jumlah itu dikurangkan memandangkan Armugam, seorang pemandu teksi, berpendapatan rendah.

Kumaresan dan Peter, kedua-duanya pengawal keselamatan dan tidak diwakili peguam, turut merayu dikurangkan jumlah jaminan kerana perlu menanggung keluarga. Asmadi membenarkan setiap seorang dijamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan perlu melapor diri sebulan sekali di balai polis berdekatan.

Beliau menetapkan 12 Januari depan untuk sebutan kes itu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain