suria

Rancangan Seram Di Televisyen Trend Semasa

KUALA LUMPUR: Rancangan berunsur seram yang kini banyak ditayangkan di televisyen adalah kerana trend atau permintaan semasa, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Senator Heng Seai Kie berkata kandungan siaran televisyen, radio dan filem dipantau rapi oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKSM) dan semua kandungan pra rakam siaran perlu ditapis dan mendapat kelulusan Lembaga Penapisan Filem.

"Pemantauan mendapati stesen tv dan radio swasta banyak menyiarkan rancangan yang sarat dengan mesej positif dan berbentuk pengajaran, namun ia diserapkan melalui pendekatan yang kreatif, menarik dan menghiburkan termasuk programprogram remaja," katanya ketika menjawab soalan tambahan Mohd Hayati Othman (PendangPAs) pada persidangan dewan.

Kepada soalan asal Nancy Shukri (BNBukit Sadong), Heng berkata penerapan nilainilai murni merupakan usaha berterusan sama ada di RTM atau stesen televisyen swasta termasuklah dalam siaran iklan, hiburan dan drama.

"RTM memastikan semua rancangan termasuk sitkom komedi mempunyai mesej tersendiri, bertujuan menerapkan nilai-nilai murni di kalangan penonton. Usaha ini turut dilaksanakan melalui siaran lagu-lagu patriotik pada waktu perdana oleh RTM," katanya.

Menurutnya stesen televisyen swasta diwajibkan menyiarkan pesanan khidmat awam yang mengandungi nilai-nilai murni, kekeluargaan, kebudayaan dan kemasyarakatan.

"Kegagalan berbuat demikian akan mengakibatkan mereka didenda RM100,000 atau penjara lebih dua tahun atau kedua-dua sekali," katanya. BERNAMA

Artikel Lain