suria

Pemilik Bistro Hadapi Denda RM20 Juta

PULAU PINANG: Seorang pengusaha bistro berdepan dengan hukuman denda RM20 juta selepas didapati memiliki sebuah set karaoke yang mengandungi 10,000 salinan cetak rompak lagu tempatan dan antarabangsa di Seberang Jaya, dekat sini.

Kegiatan pengusaha berusia 49 tahun itu, yang menjalankan perniagaan sejak dua bulan lepas, terbongkar selepas diserbu oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Cawangan Pulau Pinang semalam.

Dalam serbuan tersebut, Bahagian Penguatkuasa KPDNKK turut merampas kesemua peralatan karaoke bernilai RM50,000.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Negeri, M Gunaselan, berkata serbuan dilakukan selepas menerima aduan daripada Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) dan Public Perfomance Malaysia Sdn Bhd (PPM).

"Dalam serbuan pada pukul 6.30 petang semalam di Jalan Todak, Seberang Jaya, pihak kami turut menahan pengusaha bistro itu sebelum dibebaskan dengan jaminan polis, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya pengusaha bistro itu akan didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Hakcipta 1987 kerana membuat cetakan tanpa lesen.

Jika sabit kesalahan, katanya, pengusaha itu boleh didenda tidak kurang RM2,000 bagi setiap salinan lagu atau penjara lima tahun atau keduadua sekali.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif RIM dan PPM, Tan Ngiap Foo, berkata 3,000 daripada 5,000 kelab malam dan restoran terutamanya restoran Cina di seluruh negara melanggar Akta Hakcipta dengan memainkan lagu karaoke tanpa kelulusan.

Menurutnya kegiatan itu menyebabkan industri muzik mengalami kerugian sekurangkurangnya RM60 juta setahun.

"Kami kesal terhadap sikap individu yang tidak menghormati dan menghargai hak cipta pemilik asal bagi sesebuah karya seni," katanya. BERNAMA

Artikel Lain