suria

Ops Tapis Berjaya Tahan Pengedar Dadah

SEREMBAN: Seorang pengedar dadah yang paling dikehendaki polis adalah antara yang ditahan dalam operasi "Tapis Khas" yang bermula semalam dan berakhir hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri Sembilan Supt R. Ravichandran berkata operasi itu dilancar bagi menangkap pengedar dadah dan perancang aktiviti haram itu yang aktif di Negeri Sembilan dan Selangor.

"Pada mulanya kita serbu kawasan pengedaran mereka di Seremban Jaya dan Seremban Selatan lebih kurang pukul 6.30 petang semalam dan berjaya menahan lelaki berusia 37 tahun yang sedang menjual dadah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata lelaki itu ditahan bersama empat kuncukuncunya dan empat penagih dadah. Kesemua yang ditahan itu mempunyai rekod jenayah termasuk samun.

Susulan penahanan itu, polis menyerbu sebuah rumah di Taman Seri Bayu, Sungai Pelek di Sepang yang dipercayai menjadi kilang membungkus dan membekalkan dadah kepada kumpulan terbabit.

"Dalam serbuan itu, kami menahan dua lelaki termasuk seorang rakyat India dan merampas 70 paket dadah heroin bernilai RM15,600, sembilan parang pelbagai jenis dan wang tunai RM1,300," katanya. BERNAMA

Artikel Lain