suria

Najib Kata Letupan di Narathiwat Tak Jejaskan Lawatannya ke Selatan Thai

BANGKOK: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kejadian letupan bom yang berlaku di daerah Narathiwat kurang 48 jam sebelum beliau dijadualkan melawat kawasan bergolak tersebut tidak akan menjejaskan programnya turun ke Selatan Negara Thai itu.

“Ya, Insya-Allah saya akan pergi kerana saya percaya, Kerajaan Thai tidak akan membenarkan kejadian seumpama itu berlaku semasa lawatan rasmi saya ke sana nanti," ujarnya ketika menjawab soalan para wartawan apakah beliau terganggu dengan kejadian yang menimpa di Narathiwat kelmarin.

Najib bercakap dengan para wartawan selepas mengadakan pertemuan bilateral dengan rakan sejawatannya Abhisit Vejjiva di sini petang tadi.

Malah kata Najib, jika Kerajaan Thai merasakan suasana di Narathiwat tidak selamat, sudah awal-awal lagi mereka tidak akan membenarkan lawatan tersebut diadakan.

Dalam kejadian kelmarin, dua orang terbunuh manakala 11 lagi tercedera apabila sebutir bom yang disembunyikan di dalam sebuah motosikal meletup di kawasan pasar yang sibuk berhampiran sebuah pekan di Narathiwat.

Artikel Lain