suria

Kerajaan Tidak Cadang Tambah Rumah PPR Di Kampung Baru

KUALA LUMPUR:Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan tidak bercadang untuk membina rumah Program Perumahan Rakyat(PPR) tambahan bagi penduduk kampung baru di seluruh negara kerana keperluannya tidak begitu mendesak.

Menteri berkenaan Datuk Seri Kong Cho Ha berkata kerajaan melaksanakan PPR bagi memenuhi keperluan perumahan golongan berpendapatan rendah di seluruh negara.

"Buat masa ini, kementerian tidak mempunyai perancangan khusus untuk membina PPR bagi penduduk kampung baru memandangkan keperluan perumahan sedemikian tidaklah begitu mendesak," katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk Wong Siong Hwee pada persidangan Dewan Negara di sini hari ini.

Wong bertanya sama ada kerajaan bercadang membina projek perumahan kos rendah di 450 kampung baru di Semenanjung Malaysia.

Kong berkata rumah PPR yang dibina oleh kementerian kebiasaannya terletak di lokasi strategik dan diberi kepada mereka yang berkelayakan termasuk penduduk kampung baru untuk menyewa atau membeli sekiranya memenuhi syaratsyarat yang ditetapkan. -BERNAMA

Artikel Lain