suria

Polis Cari Empat Lelaki Berhubung Kes Pembunuhan Kontraktor

JOHOR BAHARU: Polis meminta bantuan orang ramai untuk mengesan empat lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan seorang kontraktor dan pengurus syarikat pembinaan di Jalan Tebing Runtuh, Nusajaya, minggu lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata keempat-empat mereka dipercayai berbahaya kerana memiliki senjata api yang digunakan dalam kes berkenaan.

Beliau berkata salah seorang daripada yang dicari bagi membantu siasatan ialah R.Sandaran, 27, yang beralamat di 31, Lebuh Rambai 12, Paya Terubong, Air Hitam, Pulau Pinang atau Blok 895, Sun Moon City, Paya Terubong.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai mereka diminta menghubungi polis dengan menelefon hotline 07-2212999 bagi membantu siasatan," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang Rabu lepas, seorang kontraktor B. Saravanam, 39, dan pengurus syarikat pembinaan jalan, R.Vesvanathan, 43, ditembak mati oleh penjenayah ketika mereka dalam perjalanan ke tapak pembinaan selepas mengeluarkan wang dari sebuah bank, dipercayai untuk membayar gaji pekerja.

Ekoran kejadian itu polis menahan reman empat individu iaitu seorang wanita berusia 22 tahun yang ditahan sejurus kejadian, sepasang suami isteri berumur 55 dan 45 tahun yang ditahan Khamis lepas, dan anak lelaki pasangan itu yang berumur 27 tahun, ditahan Sabtu lepas.

Mohd Mokhtar berkata wanita berumur 22 tahun itu turut didapati membuat laporan palsu kepada polis dengan mengatakan keretanya disamun. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain