suria

Penganggur Dipenjara 12 Bulan Perdaya Guru Untuk Upacara Sembahyang Buang Sial

KLANG: Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini setelah mengaku bersalah memperdaya seorang guru wanita untuk menyerahkan rantai emasnya kononnya bagi melakukan upacara sembahyang buang sial pada September tahun lepas.

Majistret Liew Horng Bin ketika menjatuhkan hukuman itu berkata tertuduh R.Thangayah, 52, tidak dikenakan hukuman sebat disebabkan faktor usia dan kesihatan.

Mahkamah memerintahkan tertuduh yang tidak diwakili peguam menjalani hukuman itu berkuatkuasa dari tarikh dia ditangkap pada 13 Mei lepas.

Thangayah mengaku bersalah memperdaya K.Suntari, 39, untuk menyerahkan seutas rantai emas miliknya bagi melakukan upacara sembahyang untuk mengubati penyakit mangsa, sebaliknya tertuduh menghilangkan diri dengan rantai emas itu menyebabkan Suntari kerugian kirakira RM8,000.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di TBG 1060, Jalan Tepi Sungai di sini, pada September tahun lepas dan didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta denda.

Menurut fakta kes yang dibentangkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Elya Ezrin Mohd Roslan, pada hari kejadian Suntari dan abang iparnya pergi ke rumah Thangayah untuk mengubati penyakit berkenaan masalah keluarga.

Tertuduh kemudiannya meminta RM551 sebagai upah lalu Suntari bersetuju untuk membayarnya, dan kemudian tertuduh meminta pula rantai leher emas yang didakwanya untuk dibuat sembahyang bertujuan membuang sial pada diri Suntari.

Suntari menyerahkan rantai emas itu lalu diberi masa dua minggu untuk mengambil semula rantai berkenaan, namun selepas dua minggu, Thangayah meminta tempoh dua minggu lagi kerana mendakwa rantai itu masih dibuat jampi dan berada di kubur.

Suntari seterusnya menghubungi tertuduh dua minggu kemudian tetapi tiada jawapan dan apabila Suntari pergi ke rumah Thangayah, tertuduh dipercayai menghilangkan diri bersama rantai itu. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain