suria

Mungkinkah Krisis MCA Berakhir Dengan Pengekalan Status Quo?

KUALA LUMPUR: Mungkinkah krisis kepimpinan MCA akan berakhir tidak lama lagi dan parti itu kembali kepada keadaan asalnya apabila semua pihak yang bertelagah, mengekalkan jawatan masing-masing?

Para penganalisis politik percaya hasil mesyuarat pertama jawatankusa khas MCA semalam bagi mengkaji secara terperinci cadangan mengadakan pemilihan baru, memberi beberapa pentunjuk jelas bahawa parti itu sedang menuju ke arah yang betul bahawa pemilihan baru tidak perlu diadakan dan status quo yang wujud sebelum ini, dikekalkan.

Bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat itu, timbalan presiden MCA, yang juga pengerusi jawatankusa khas berkenaan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, berkata terdapat terlalu banyak isu teknikal dan perundangan yang perlu diselesaikan sekiranya pemilihan baru ingin diadakan dan kemungkinan ia tidak diadakan adalah amat cerah.

Para penganalisis berkata terdapat sekurang-kurangnya "tiga petunjuk" bahawa parti itu akan menuju ke arah mengekalkan status quonya iaitu apabila Dr Chua menyebut tentang kemungkinan pemilihan baru yang diadakan kelak tidak akan melibatkan pertandingan, kemungkinan pemilihan baru diadakan adalah tidak begitu cerah dan jawatankuasa khas berkenaan mengarahkan penasihat undangundang MCA mengkaji sama ada tindakan mengadakan pemilihan baru bertentangan dengan perlembagaan parti itu.

"Amat jelas kelihatan bahawa kebanyakan mereka tidak bersetuju pemilihan baru diadakan. Jika sebaliknya, sudah tentu mereka bersetuju serta meletakkan jawatan dan semuanya akan berterusan di situ," kata seorang penganalisis politik baru-baru ini.

Penganalisis ini juga percaya apa yang berlaku sekarang ialah para pemimpin terbabit mengamalkan strategi untuk "mencuri masa" bagi "mencari jalan keluar yang boleh menjaga air muka" kerana mereka tidak bersetuju pemilihan baru diadakan.

"Mereka hanya menggunakan jawatankuasa itu bagi mencari jalan keluar daripada masalah berkenaan. Ini langkah politik yang bijak bagi menyelesaikan masalah yang ada kerana tiada siapa akan kelihatan lebih berkuasa daripada yang lain," katanya.

Halangan utama bagi mengadakan pemilihan baru ini termasuk ketidaksediaan kebanyakan anggota jawatankuasa pusat (CC) parti itu meletakkan jawatan msingmasing, isu berkaitan tempoh memegang jawatan oleh barisan kepimpinan baru sekiranya pemilihan baru diadakan dan sama ada pemilihan baru patut dihadkan di peringkat CC sahaja atau turut melibatkan sayap Pemuda dan Wanita.

Puak-puak yang bertelagah dalam parti itu dikatakan masih terus bersengketa, dengan puak yang diketuai naib presiden Datuk Seri Liow Tiong Lai terus mendesak agar pemilihan baru diadakan dalam tempoh 60 hari yang hanya melibatkan peringkat CC, manakala Dr Chua dan puak yang diketuai presiden parti Datuk Seri Ong Tee Keat pula lebih suka jika jika pemilihan baru diadakan pada suatu tarikh selepas Mac tahun depan dan melibatkan semua peringkat, termasuk sayap Pemuda dan Wanita.

Lagi pun, setakat ini, hanya 13 anggota CC yang dilantik, termasuk Dr Chua, sanggup meletakkan jawatan bagi membuka jalan ke arah diadakan pemilihan baru. Perlembagaan MCA menyebut bahawa sekurang-kurangnya 20 daripada 30 anggota CC yang dilantik, perlu meletakkan jawatan bagi membolehkan pemilihan baru diadakan.

Difahamkan, pada mesyuarat jawatankuasa khas itu semalam, anggotanya masih belum mencapai sebarang kata sepakat dan ini menimbulkan andaian bahawa pemilihan baru tidak akan diadakan.

Satu lagi petunjuk bahawa pemilihan baru tidak akan diadakan ialah apabila Dr Chua mencadangkan agar "pemilihan baru diadakan tanpa melibatkan pertandingan" dijadikan cara bagi menamatkan krisis berkenaan, walaupun beliau tidak menyebut secara terperinci mengenainya.

Ketika parti itu menghadapi krisis serupa pada 2002, formula "pemilihan baru tanpa pertandingan" diterima pakai untuk julung kalinya di bawah pelan damai yang dianjurkan perdana menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad, di mana para pemimpin daripada kumpulan yang bertelagah, dicalonkan mengekalkan jawatan masing-masing, tanpa pertandingan.

Ini berlaku selepas presiden dan timbalan presiden MCA ketika itu Tun Dr Ling Liong Sik dan Tan Sri Lim Ah Lek yang bertelagah, melepaskan jawatan masing-masing dan digantikan oleh Tan Sri Ong Ka Ting serta Tan Sri Chan Kong Choy.

Di bawah pelan damai itu, kumpulan yang memihak kepada Lim bersetuju untuk membatalkan tuntutan mereka agar Mesyuarat Agung Luar Biasa diadakan bagi mendesak Lim meletakkan jawatan, manakala kumpulan yang diketuai Dr Ling pula dibenarkan melaksanakan proses pemilihan parti tanpa sebarang pertandingan.

Tahun berkenaan merupakan tahun pemilihan bagi jawatan parti bagi MCA dan ketika itu, tidak terdapat peruntukan dalam perlembagaan parti berkenaan yang membenarkan pemilihan jawatan ditangguhkan.

Berikutan itu, semua pemimpin di peringkat cawangan, bahagian, negeri dan kebangsaan mengekalkan jawatan masing-masing bagi satu penggal lagi, tanpa sebarang pertandingan. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain