suria

Dua Remaja Salam Ibu Bapa Di Mahkamah Sentuh Perasaan

KUALA LUMPUR: Tindakan Hakim Mahkamah Seksyen Zainal Abidin Kamarudin mengarahkan dua pemuda yang dituduh memiliki barang curi supaya bersalaman serta memohon maaf daripada ibu dan ayah masing-masing, menyentuh perasaan mereka yang hadir di mahkamah itu hari ini.

Hakim itu, yang sering menggunakan pendekatan berbentuk psikologi dalam kes melibatkan remaja untuk menginsafkan mereka, bukan sahaja memerintahkan Muhd Ramzan Saiful Rahman, 20, dan seorang lagi remaja lelaki 18 tahun, menemui ibu dan bapa masing-masing malah kedua-duanya diminta berikrar tidak melakukan kesalahan lagi.

Muhd Ramzan telah memeluk bapanya, Saiful Rahman, manakala remaja itu memeluk ibunya. Kepada Muhd Ramzan, hakim itu berkata : "Tidak kasihankah awak kepada ibu dan bapa yang membesarkan awak. Awak tidak terasa ke di hati bila mendengar bapa awak sendiri berkata yang awak telah banyak menyusahkan dan memalukan dia. Bapa awak susah kerana terpaksa berulang-alik ke mahkamah. Cari duit untuk jamin, mahu awak jadi orang yang baik.

Kepada remaja itu pula, Zainal Abidin berkata : "Tengok mak awak, susah tau. Jual kuih saja. Duit jamin pun pinjam dengan adik-beradik. Awak tidak kasihan ke tengok mak awak ini. Dia bergaduh dengan adik-beradik kerana duit jamin tu. Janji ya, bila mak awak sakit, jaga dia." Kata-kata hakim itu dilihat menyentuh perasaan orang ramai dalam mahkamah manakala remaja berkenaan menangis teresak-esak.

Ketika ditanya oleh Zainal Abidin tentang harapannya terhadap Muhd Ramzan, Saiful berharap anaknya itu akan berubah perangai dan tidak melakukan kesalahan lagi kerana anaknya itu mempunyai tanggungjawab sebagai seorang suami dan bapa.

Ibu remaja itu pula memohon mahkamah memberi peluang kedua kepada anaknya dan berjanji akan mengawasi anaknya, yang menurutnya, terpengaruh dengan rakan dan persekitaran tempat tinggalnya.

Zainal Abidin kemudian membenarkan kedua-duanya dijamin dengan bon berkelakuan baik selama setahun.

Kedua-duanya mengaku bersalah bersama-sama tiga lagi yang masih bebas memiliki satu mesin juruwang jenama Casio TE2200 di jejantas pejalan kaki bersebelahan blok 8 PPR Desa Tun Razak, di sini pada 4.45 pagi 25 Okt tahun lepas. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain