suria

Buku Terbitan SIS Diharamkan Kerana Ia Memudaratkan Ketenteraman Awam

KUALA LUMPUR: Buku 'Muslim Women and the Challenge of Islamic Extremism' terbitan Sisters in Islam (SIs) diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri tahun lepas kerana ia memudaratkan ketenteraman awam, demikian Mahkamah Tinggi di sini diberitahu hari ini.

Peguam Kanan Persekutuan Noor Hishamuddin Ismail berhujah demikian dalam kes permohonan semakan penghakiman oleh SIS bagi membatalkan perintah pengharaman yang dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri pada masa itu, Datuk Seri Syed Hamid Albar, pada 5 Nov tahun lepas.

Katanya mengikut undang-undang, Menteri Dalam Negeri diberi kuasa budi bicara untuk mengharamkan buku itu jika dia mendapati ia akan memudaratkan ketenteraman awam dan menteri berkenaan menggunakan kuasanya dengan betul.

"Menteri berkenaan telah mengeluarkan perintah pengharaman mengikut undang-undang dan prinsip kesaksamaan prosedur kerana penerbitan adalah isu undang-undang persekutuan," katanya.

Noor Hishamuddin juga berkata tindakan menteri dalam merujuk kepada Jabatan kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk pandangan pakar mengenai undangundang Syariah dalam kes ini adalah betul dan dibenarkan di bawah undangundang pentadbiran. Katanya ia akan sama kepada penyalahgunaan kuasa jika menteri tidak berbuat demikian.

Buku itu merupakan susunan esei-esei berdasarkan kajian oleh aktivis dan cendikiawan antarabangsa dan disunting oleh ahli sosiologi Prof Norani Othman dari Institut Pengajian Antarabangsa dan Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Buku tersebut diharamkan atas alasan ia cenderung ke arah mengelirukan masyarakat Islam khususnya wanita dan sebuah percubaan untuk mentafsirkan kenyataan mengenai Islam.

SIS mendakwa pengharaman tersebut adalah di luar kuasa Akta Percetakan dan Penerbitan 1984 dan melanggar Artikel 8(2), 10(1)(a) dan 11(4) Perlembagaan Persekutuan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamad Ariff Md Yusof disambung 16 Dis ini. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain