suria

Bawa Saja Isu Royalti Minyak Ke Mahkamah - Mohamed Nazri

KUALA LUMPUR: Kerajaan PAS Kelantan dicabar membawa kes tuntutan royalti minyak ke mahkamah daripada berbuat sesuatu yang bersifat retorik dan tidak boleh membawa perubahan kepada status quo.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, membawa isu tuntutan itu ke mahkamah merupakan langkah paling tepat berbanding usaha retorik iaitu Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berdoa yang bukan-bukan terhadap Perdana Menteri dan Kerajaan Pusat.

"Saya pun hairan mengapa mereka tak bawa kerajaan pusat ke mahkamah...daripada mereka buat benda-benda yang tidak boleh datangkan apa-apa perubahan kepada status quo, baik pergi ke mahkamah terus.

"Daripada berdoa yang bukan-bukan...minta diturunkan bala ke atas Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) yang saya kira itu kerja bodoh. Baik terus bawa ke mahkamah kerana itu lebih dapat menyelesaikan masalah dan bukannya retorik sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya mengenai tindakan kerajaan negeri Kelantan yang dilihat lebih berunsurkan retorik berhubung isu tuntutan royati minyak selepas melancarkan Ensiklopedia Hansard Parlimen terbitan Yayasan Pembangunan Buku Negara dan Penerbitan Universiti Teknologi Malaysia(UTM) di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Ensiklopedia fasa pertama yang mengandungi perbahasan pelbagai isu sejak 1995 sehingga 2007 itu mempunyai 138 jilid dan dijual dengan harga RM68,000 manakala fasa kedua merangkumi tahun 1959 hingga 1994 akan diterbitkan pertengahan tahun depan.

Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am PAS sebelum ini dilaporkan mendoakan supaya pemimpin kerajaan Barisan Nasional (BN) yang bertanggungjawab tidak memberi royalti minyak supaya "pecah perut" sebagai reaksi terhadap keengganan Kerajaan Persekutuan menyerahkan bayaran royalti minyak kepada Kelantan, sebaliknya sekadar memberikan wang ihsan.

Pada 4 Nov lepas, Najib mengumumkan pembayaran wang ihsan daripada kerajaan pusat kepada Kelantan yang bermula tahun depan.

Ditanya apakah kerajaan yakin akan memenangi kes tersebut sekiranya dibawa ke mahkamah, Nazri yang juga Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno berkata, kerajaan yakin keputusan untuk tidak memberikan royalti adalah menepati kehendak undang-undang tempatan mahupun antarabangsa dan untuk itu beliau yakin kemenangan akan memihak kepada kerajaan.

Beliau berkata, dakwaan pemimpin negeri Kelantan dan pembangkang bahawa hak royalti minyak Kelantan dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan adalah sama sekali tidak benar kerana Perlembagaan hanya menyatakan royalti untuk negeri Sabah dan Sarawak sahaja.

"Sabah dan Sarawak sebelum ini mendapat 100 peratus daripada hasil minyak yang dikeluarkan dari dalam perairan mereka. Itu sebelum mereka masuk Malaysia (penubuhan Malaysia).

"Tetapi selepas menyertai Malaysia, dua negeri itu terpaksa korbankan 95 peratus hasil minyak mereka.

"Kita kena hargai pengorbanan Sabah dan Sarawak. Sebab tu kepada dia, kita (kerajaan) kata royalti.

"Kita perlu hargai pengorbanan yang dibuat ini dengan menjamin hak royalti minyak sebanyak lima peratus kepada Sabah dan Sarawak dalam Perlembagaan.

"Tapi bagi negeri-negeri di Semenanjung, tidak ada minyak ditemui sebelum kita mencapai kemerdekaan pada 1957. Jadi hormatlah pengorbanan mereka," katanya.

Berdasarkan faktor tersebut Nazri berkata, beliau cukup yakin yang mahkamah tidak akan sama sekali memihak kepada kerajaan Kelantan walaupun kes ini dibawa ke mahkamah antarabangsa.

Menurutnya lagi, setiap negara berdaulat hanya diberi 12 batu nautika sebagai perairan wilayah. Justeru itu, katanya, apa hak kerajaan negeri untuk menuntut lebih daripada 12 batu nautika.

Berhubung kenyataannya terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam mengenai Biro Tata Negara (BTN) yang menimbulkan reaksi kurang senang pelbagai pihak, malah ada yang mahukan beliau meminta maaf dan menarik balik kenyataan itu, Mohamed Nazri berkata, beliau tetap berdiri teguh dengan apa yang dikatakannya dan tidak perlu meminta maaf.

"Saya berdiri teguh dengan apa yang saya katakan. Saya menteri bagi semua rakyat Malaysia.

"Rakyat yang mengundi saya sebagai anggota Parlimen adalah daripada pelbagai kaum.

"Saya tidak boleh bersetuju kalau satu kursus yang peruntukannya begitu tinggi hanya digunakan untuk satu komuniti sahaja."

Mohamed Nazri dalam kenyataannya semalam berkata, beliau tidak bersetuju dengan pandangan Dr Mahathir bahawa kursus BTN tidak perlu dirombak.

Dr Mahathir dilaporkan berkata, modul latihan BTN yang sedia ada tidak perlu dirombak kerana ia sesuai untuk menyemai semangat patriotisme di kalangan rakyat Malaysia.

"Jadi kalau kursus hanya digunakan untuk satu komuniti sahaja, saya tidak bersetuju dan berdiri teguh dengan apa yang saya katakan. Patriotisme adalah untuk semua. Negara Malaysia ini adalah untuk semua Malaysia," kata Mohamed Nazri. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain