suria

Perhilitan Rampas Beruang Madu, Kucing Batu Dan Kongkang

SHAH ALAM: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor merampas tiga haiwan perlindungan iaitu Beruang Madu, Kucing Batu dan Kongkang yang dijadikan koleksi peliharaan dipercayai dibeli dari Orang Asli di Negeri Sembilan.

Timbalan Pengarah Jabatan Perhilitan Selangor Mohammad Khairi Ahmad berkata rampasan itu dilakukan pada Jumaat lepas di sebuah kondominium di Desa Pandan, Kuala Lumpur hasil maklumat orang awam.

Beliau berkata empat anggota Jabatan Perhilitan Selangor yang membuat serbuan ke rumah itu mendapati beruang madu berkenaan ditempatkan di ruang tamu rumah sebagai hiasan dan dikurung dalam sangkar besi.

Manakala kucing batu dan kongkang diletakkan di dalam sangkar yang disusun pada bahagian balkoni kondominium berkenaan.

"Ketika serbuan kita menahan seorang wanita berusia 25 tahun dan bekerja di sebuah hotel yang mendakwa ketiga-tiga haiwan berkenaan adalah milik seorang lelaki yang juga saudaranya," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Mohammad Khairi berkata lelaki berkenaan yang berusia 30-an bagaimanapun tiada di rumah ketika serbuan dan usaha menjejakinya sedang dilakukan bagi membantu siasatan dan proses pendakwaan.

Beliau berkata nilai kesemua binatang itu dianggarkan RM6,000 di mana harga bagi beruang madu adalah paling tinggi iaitu mencecah RM5,000 seekor sementara kucing batu dan kongkang masing-masing berjumlah RM500.

"Beruang madu merupakan spesis terancam kerana sering ditangkap dan dijadikan hidangan eksotik, dalam kes ini yang dirampas ialah anak beruang madu dan kita percaya ibunya telah dibunuh," katanya.

Mohammad Khairi berkata siasatan mendapati kesemua haiwan berkenaan telah dipelihara di kondominium itu sejak tiga bulan lepas.

Beliau berkata wanita itu yang ditahan ketika serbuan, dibebaskan dengan jaminan sehingga tarikh sebutan kes di Mahkamah Ampang pada 29 Disember ini dan dia boleh didakwa di bawah Seksyen 64(2)(a) Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksima tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Mohamad Khairi berkata kesemua haiwan itu akan disimpan di Jabatan Perhilitan di sini sehingga mendapat keputusan mahkamah sama ada untuk dibebaskan ke hutan atau diserahkan kepada zoo berhampiran. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain