suria

Mahkamah Tolak Rayuan, Penarik Kereta Ke Tali Gantung

PUTRAJAYA: Seorang penarik kereta akan ke tali gantung sampai mati apabila Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhirnya untuk mengetepikan hukuman kerana kesalahan mengedar dadah.

Hakim Besar Malaya Tan Sri Ariffin Zakaria, yang bersidang bersama Hakim Datuk Wira Ghazali Mohd Yusof dan Datuk Md Raus Sharif, menolak rayuannya setelah berpuas hati dengan pendakwaan yang tidak perlu membuktikan bahawa perayu, Mohd Fauzi Omar, memiliki sepenuhnya dadah itu.

Pada 22 November, 2005, Mohd Fauzi, 36, dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi setelah dia didapati bersalah kerana mengedar 986.9g ganja di rumahnya Jalan Air Melintas Besar, Tasek Gelugor, Pulau Pinang, pada pukul 1.20 pagi, 2 September 2000.

Rayuannya ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 15 April, tahun lepas.

Peguam Mohd Fauzi, Sukhaimi Mashud ketika memberikan hujah hari ini berkata perayu tidak mengetahui dadah itu dan mendakwa ia milik kawannya, Abdul Halim, yang datang ke rumahnya dan meninggalkan dua beg plastik mengandungi dadah itu di biliknya.

Timbalan Pendakwa raya Ahmad Bache berhujah bahawa tidak ada bukti bahawa Abdul Halim telah masuk ke rumah itu dan keterangan isteri perayu bahawa bilik itu di mana dadah tersebut dijumpai, hanya digunakan oleh suaminya.

"Bukan tugas pendakwaan untuk membuktikan elemen pemilikan dadah eksklusifli dan menghapuskan kemungkinan ada orang lain akses ke bilik tersebut.

"Sehubungan itu, pembelaan tidak boleh bergantung sepenuhnya mengenai isu eksklusifli untuk menimbulkan keraguan terhadap kes pendakwaan," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain