suria

Kritikan Mengenai BTN Dibesar-besarkan - Tun Mahathir

CYBERJAYA: Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kritikan mengenai modul kursus Biro Tata Negara (BTN), termasuk yang mendakwa ia berunsur perkauman adalah sesuatu yang diperbesar-besarkan.

Beliau berkata kursus itu hanya mengajar penjawat awam supaya mempunyai nilai dan budaya yang baru, seperti lebih berdisiplin, jujur dan tidak melakukan rasuah, dalam usaha memberi khidmat yang lebih baik kepada negara.

"Kita telah mempunyai perkara ini selama 20 tahun. Ketika saya menjadi perdana menteri, tiada siapa yang mengadu apaapa dan mereka yang menghadiri kursus ini juga mendapati ia sangat berguna.

"Apa yang kita cuba ajar mereka ialah mereka mesti mempunyai nilai-nilai yang baru, kerana sistem nilai dan budaya yang mereka ada tidak kondusif untuk kejayaan.

Saya tidak nampak apa yang salah mengenainya," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai kritikan banyak pihak berhubung kursus BTN. Isu kursus anjuran BTN mendapat perhatian ramai apabila kerajaan Negeri Selangor baru-baru ini melarang kakitangan awam dan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) milik negeri mengikuti kursus berkenaan berkuatkuasa serta merta kerana didakwa sebagai proses doktrinisasi oleh Barisan Nasional (BN) hingga mencetuskan fenomena perkauman, memecah belahkan penduduk pelbagai kaum, agama dan menimbulkan kebencian kepada pembangkang.

Pada Rabu, kerajaan Pulau Pinang, yang juga di bawah kepimpinan Pakatan, mengikut langkah kerajaan Selangor dan tidak membenarkan semua penjawat awamnya menghadiri kursus BTN berkuatkuasa serta merta.

Dr Mahathir, yang semalam berkata modul BTN tidak perlu dirombak, juga berkata tiada siapa yang boleh menafikan fakta sejarah.

"Sudah pasti apabila anda memperkatakan sejarah negara anda perlu menyebut negara ini dahulunya dipanggil Tanah Melayu, sekarang ia dipanggil Malaysia kerana kita ada kaum lain yang menetap di sini.

"Itu adalah fakta sejarah. Anda tidak boleh menafikan fakta sejarah. Tapi jika itu pun anda tidak boleh sebut, saya rasa kita menafikan sejarah," katanya.

Terdahulu, Dr Mahathir menyaksikan majlis menandatangani perjanjian terma kewangan RM120 juta Istisna' Ijarah antara Emkay Group Joyful Gateway Sdn Bhd dan RHB Islamic Bank Berhad untuk pembinaan bangunan Shell Shared Service Centre (SSSC), yang akan menjadi bangunan hijau pertama di Cyberjaya.

Dalam ucapannya, Dr Mahathir berkata beliau gembira pembangunan di Cyberjaya telah menunjukkan kemajuan semula, selepas beberapa ketika terhenti.

"Satu masa dahulu Cyberjaya tidak membangun seperti sepatutnya tapi kini kita nampak banyak pembinaan sedang berjalan di sini dalam usaha menyediakan kemudahan untuk rakyat dalam industri teknologi maklumat," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain