suria

JAIS Mungkin Ego - Dr Asri

PETALING JAYA: Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin sangsi dengan sikap Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohammed Khusrin Munawi yang enggan memperjelaskan secara terperinci bentuk ceramah agama yang memerlukan tauliah di Selangor.

Menurut Mohd Asri, mungkin jika JAIS membuat penjelasan berhubung perkara berkenaan akan menjatuhkan ego jabatan berkenaan.

"Saya minta rakyat Malaysia tafsirkan adakah tindakan JAIS menjelaskan maksud ceramah itu satu kebijaksanaan ataupun satu keegoan... rakyat Malaysia kena nilai," katanya ketika dihubungi mStar Online hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai keengganan Mohammed Khusrin untuk melayan gesaannya kelmarin agar memberi penjelasan terperinci berhubung isu tauliah di Selangor.

Mohammed Khusrin dilaporkan berkata, pihaknya sudah banyak memberikan penjelasan berhubung perkara itu dan menurutnya Mohd Asri tetap tidak akan memahami penjelasan berkenaan.

Tambah Mohd Asri, JAIS sebagai badan penguat kuasa agama Islam harus tampil memberikan penjelasan kerana isu tauliah berkenaan memerlukan penjelasan yang terperinci.

"Saya tak faham... bukan saya seorang sahaja yang tak faham malah rakyat Malaysia juga tidak faham, mereka masih tertanya-tanya.

"JAIS sebagai penguat kuasa perlu jelaskan apa yang dimaksudkan perkara-perkara yang salah.

"Kalau beliau tak nak jelaskan, tapi kemudian nak isytiharkan apa yang orang buat itu salah... maka itu tak betul dari segi penguatkuasaan," katanya.

Selain itu Mohd Asri berkata, menurut undang-undang Islam seseorang itu tidak boleh dihukum sehingga diberitahu apakah kesalahannya.

"Beliau tak mahu jelaskan, tapi hanya menunggu masa untuk menangkap orang, takkanlah ada mentaliti manusia macam ini?

"Kalau begini, masyarakat primitif pun tak dapat terima, apatah lagi masyarakat moden sekarang... ini undang-undang beliau kena jelaskan.

"Jika beliau tetap tidak mahu beritahu, mungkin maksudnya saya dengan beliau sama-sama tak faham," katanya sinis.

Artikel Sebelum

Artikel Lain