suria

Dewan Rakyat Kecoh Isu Tanah Masjid Desa Sri Hartamas

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini kecoh apabila isu tanah yang digazetkan untuk membina Masjid Desa Sri Hartamas dibangkitkan ketika sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2010 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.

Kekecohan timbul apabila Menterinya Senator Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin menjelaskan bahawa tanah di kawasan berkenaan bukan tanah wakaf seperti yang didakwa oleh Zulkifli Noordin (PKR-Kulim-Bandar Baharu), sebaliknya tanah itu adalah tanah rizab kerajaan.

Zulkifli yang tidak puas hati dengan jawapan itu mendakwa Raja Nong Chik tidak memahami perbezaan di antara status tanah wakaf dan tanah rizab sehingga memaksa Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia meleraikan pertikaman lidah itu.

"Yang Berhormat Kulim-Bandar Baharu kata tanah itu adalah tanah wakaf, menteri kata bukan tanah wakaf. "Setakat itu sudahlah. Jangan lagi dipertikaikan. Wakafkah, tidak wakafkah...Wakafkah, tidak wakafkah...Wakafkah, tidak wakafkah. Sampai bila perkara itu tidak akan habis," katanya.

Zulkifli yang mengalah dengan arahan Pandikar supaya menghentikan pertikaman lidah mengenai isu tanah wakaf itu, kemudiannya mempersoalkan mengenai kebenaran perintah pembangunan yang dikeluarkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ke atas tanah berkenaan sedangkan ianya tidak terdapat dalam Draf Pelan Kuala Lumpur 2020.

Raja Nong Chik menjelaskan bahawa kelulusan DBKL dibuat kerana tanah milik Majlis Agama Islam Wilayah Persekituan (MAIWP) telah ditukar syaratnya oleh jawatankuasa tanah Wilayah Persekutuan kepada tanah untuk pembangunan. "Ini bermakna proses pertukaran tanah telah diminta oleh MAIWP dan rakan kongsinya selepas pertukaran status dibuat.

"Mungkin masa itu, permohonan dibuat atas status tanah itu boleh dibangunkan. Jadi, kita tidak boleh marah kepada pegawai yang berkaitan," katanya.

Sementara itu, pada sidang media di lobi Parlimen, Raja Nong Chik menjelaskan bahawa tanah di Sri Hartamas dan Danau Kota telah diberikan oleh pihak pemaju kepada MAIWP untuk mendirikan masjid.

Bagaimanapun, beliau berkata MAIWP memutuskan lokasi tersebut tidak sesuai kerana sudah terdapat masjid berdekatan kawasan tersebut. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain