suria

Wakil Rakyat DAP Akui Sebar SMS memperlekehkan BN

PULAU PINANG: Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Pinang dari DAP Koid Teng Guan mengakui dan memohon maaf kerana menyebarkan teks khidmat pesanan ringkas (SMs) yang memperlekehkan Barisan Nasional (BN) kepada lebih 400 individu semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Selasa.

Koid berkata beliau menyesali perbuatannya itu yang jelas tidak wajar bagi dirinya sebagai seorang wakil rakyat untuk berbuat demikian.

"Saya ikhlas memohon maaf dan saya tidak akan mengulangi perbuatan itu, menyebarkan mesej yang tidak sepatutnya yang mempersendakan lawan politik saya," katanya pada sidang akhbar di bangunan Dewan Undangan Negeri semalam.

SMS itu dipercayai berasal daripada seorang penyokong pakatan pembangkang yang memperlekehkan parti-parti komponen BN dan menggesa rakyat menghantar mereka ke neraka.

Exco kerajaan negeri Phee Boon Poh, Adun Pulau Tikus Koay Teng Hai, setiausaha politik ketua menteri Lim Guan Eng, Ng Wei Aik dan Adun Tanjung Bungah Teh Yee Cheu turut hadir pada sidang akhbar itu sebagai tanda sokongan kepada Koid dan kekesalan kerajaan negeri berhubung perkara itu.

Sementara itu, Setiausaha Biro Komunikasi dan Publisiti Gerakan negeri Dr Thor Teong Gee menyelar perbuatan Koid dan menyatakan wakil rakyat itu memberikan contoh yang buruk.

"Kejadian terbaru SMS ini juga menunjukkan beliau tidak menumpukan perhatian kepada prosiding sidang Dewan Undangan Negeri.

Kami juga mendapat maklumat yang Koid dan Ketua Menteri mempunyai hubungan kekeluargaan.

"Kami tidak tahu sama ada ini benar. Jika ya, mungkin Lim, yang juga setiausaha agung DAP, akan mendapati sukar untuk mengambil tindakan terhadapnya. Jika maklumat ini tidak tepat, kami harap Lim akan maklumkan kepada kami," katanya.

Thor berkata menurut laporan akhbar berbahasa Cina, Koid juga gagal mengambil tindakan terhadap aduan dan masalah yang dihadapi pengundinya di Sungai Pinang.

Gerakan dan MCA negeri sebelum ini menggesa Lim mengarahkan Koid supaya meletakkan jawatan sebagai Adun, memberikan contoh kejadian sebelum ini melibatkannya, seperti memplagiat soalan bertulis bekas wakil rakyat BN bagi sidang DUN tahun lepas dan bergaduh dengan polis dekat bangunan DUN Perak awal tahun ini, yang beliau turut ditahan kerana menyertai satu perhimpunan haram. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain