suria

IJN Aset Bernilai Negara, Tidak Akan Dijual - Liow

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak berhasrat untuk menjual kepentingannya dalam Institut Jantung Negara (IJN) kepada pihak luar kerana ia merupakan aset yang amat bernilai kepada negara.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata IJN adalah hak kerajaan yang menjadi kebanggaan rakyat dan merupakan aset yang boleh mengharumkan nama negara.

Justeru, katanya mana-mana pihak yang berhasrat untuk membeli IJN diharap mengetepikan sahaja hasrat itu.

"IJN menjadi kebanggaan kepada negara malah doktor-doktor yang bertugas di IJN walaupun tidak mendapat gaji yang lumayan tetapi mereka tetap rela berkorban untuk berkhidmat kepada rakyat.

"Kita amat menghargai jasa doktor-doktor ini dalam menaikkan taraf perkhidmatan kesihatan di negara ini. Kita harap mana-mana pihak yang berhasrat untuk membeli IJN boleh memadamkan harapan itu," katanya kepada pemberita selepas perasmian Persidangan Injap Jantung 2009, yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini hari ini.

Konglomerat Sime Darby Berhad sebelum ini mengumumkan akan mengambil alih 51 peratus kepentingan dalam IJN namun hasrat itu terpaksa ditangguhkan kerajaan setelah mendapat tentangan banyak pihak.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang ketika itu timbalan perdana menteri mengumumkan penangguhan berkenaan berkata rancangan pengambilalihan itu akan dikaji semula dengan mendalam oleh kementerian-kementerian yang berkaitan.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata pihak yang terlibat dalam kajian itu termasuk Kementerian Kewangan dan Kementerian Kesihatan serta Unit Perancang Ekonomi.

IJN diurus oleh IJN Holdings Sdn Bhd, milik penuh Kementerian Kewangan.

Semasa mengulas perkara sama, Pengerusi IJN Datuk Dr Mohamad Salleh Ismail berkata media boleh memainkan peranan untuk tidak menggalakkan mana-mana pihak menanam hasrat untuk membeli pusat jantung berkenaan.

" Semua orang di IJN telah mengorbankan kehidupan mereka untuk rakyat dan tiada sesiapa boleh mengambilnya daripada rakyat," katanya.

Menyokong aspirasi sama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif IJN Datuk Dr Mohd Azhari Yakub berkata kejayaan IJN mendapat akreditasi daripada Suruhanjaya Bersama Antarabangsa (JCI) juga telah meningkatkan standard perkhidmatan IJN yang kini setaraf institusi kesihatan di luar negara.

"Lapan puluh peratus pesakit kita merupakan penjawat awam dan dengan akreditasi ini bermakna mereka mendapat perkhidmatan kesihatan yang bertaraf antarabangsa," katanya.

IJN pada minggu lepas telah memperolehi akreditasi itu dan menjadikannya hospital milik kerajaan pertama mendapat pengiktirafan seumpamanya.

Pengiktirafan dan akreditasi daripada JCI yang bertapak di Amerika Syarikat itu menjadi penanda aras kepada tahap kualiti klinikal kepada pesakit asing dan amat penting dalam usaha memajukan industri pelancongan perubatan di negara ini.

Selain IJN, hanya empat hospital swasta di negara itu mempunyai akreditasi JCI iaitu Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC), Pusat Perubatan Prince Court, Pusat Perubatan Pantai, Bangsar dan Hospital Adventist Pulau Pinang (PAH).

Setakat ini 61 daripada 134 hospital kerajaan di seluruh negara telah memperoleh pengiktirafan ISO dan 52 telah mendapat akreditasi Malaysian Society For Quality In Health (MSQH).

MSQH merupakan program akreditasi hospital yang menjurus kepada kualiti klinikal dan ia dilaksanakan dengan kerjasama antara Kementerian Kesihatan, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan hospital swasta.

Terdahulu Muhyiddin dalam ucapannya turut mengucapkan tahniah atas kejayaan pusat jantung negara itu memperoleh pengiktirafan antarabangsa tersebut.

" Dengan kejayaan mendapat akreditasi JCI, rakyat Malaysia dan lebih penting lagi, pesakit IJN, tempatan dan luar negeri, akan dipastikan menerima kualiti rawatan terbaik kerana kami diiktiraf di peringkat antarabangsa," katanya.

Muhyiddin berkata akreditasi itu telah meletakkan IJN dalam kumpulan elit institusi perubatan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain