suria

Banjir Di Terengganu Beransur Reda

KUALA TERENGGANU: Banjir di seluruh Terengganu semakin reda dan mangsa dijangka dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing sekiranya cuaca bertambah baik hari ini.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu berkata jumlah keseluruhan mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan hari ini ialah 2,205 orang dengan Kemaman mencatatkan 1,306 orang diikuti Dungun (462), Kuala Terengganu (248), Hulu Terengganu (82), Setiu (80) dan Marang (47).

Beliau berkata jalan utama Kuala Terengganu-Kuantan dan Kuala TerengganuKota Baharu masih boleh dilalui semua jenis kenderaan.

Bagaimanapun terdapat 18 jalan negeri masih dinaiki air dan ditutup sama ada kepada kenderaan ringan atau berat iaitu di Kemaman (11), Hulu Terengganu (lima) dan Dungun (dua), katanya.

Paras air di semua sungai utama di Terengganu pagi ini berada di paras biasa.

Di Kota Baharu, keadaan banjir di Kelantan turut dilaporkan semakin reda berikutan cuaca cerah di keseluruhan kawasan sejak semalam.

Jurucakap Bilik Kawalan Operasi Banjir Negeri berkata semua paras air sungai utama semakin surut walaupun hanya paras air Sungai Golok di Rantau Panjang yang masih melepasi bahaya.

"Paras air sungai itu di Rantau Panjang pada pukul 7 pagi ini 9.76 meter melepasi bahaya 9 meter dan paras air bagaimanapun surut secara perlahan sejak semalam," katanya kepada Bernama hari ini.

Jurucakap itu berkata 26 orang di Kota Baharu berada di pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Tiong di sini dan akan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pada bilabila masa sahaja.

Tinjauan Bernama di Kampung Wakaf Stan, Kubang Kerian di sini mendapati keadaan banjir kilat di kawasan itu belum pulih menyebabkan lebih 10 keluarga membabitkan hampir 50 penduduk di sebuah taman perumahan di situ berpindah sementara.

Keadaan cuaca di Kelantan keseluruhannya dilaporkan cerah dan hanya jajahan ini dan Pasir Mas dilaporkan sekali sekala berlaku hujan renyai. Di Kuantan, mangsa banjir di tiga daerah di Pahang iaitu Kuantan, Maran dan Bera kini berjumlah 456 orang.

Jurucakap Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata seramai 32 orang daripada enam keluarga dari Kampung Sungai Ular dan Kampung Chendor Baru, Cherating dekat sini masih ditempatkan di pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan Cherating Baru.

Seramai 293 orang daripada 63 keluarga dari Kampung Paya Chedong, Kampung Ulu Luit dan Kampung Bukit Kuin ditempatkan di pusat pemindahan Dewan Perpaduan Teladas, Balai raya Ulu Luit dan Surau Bukit Kuin sejak semalam, katanya.

Mangsa banjir di daerah Bera meningkat kepada 131 orang daripada 30 keluarga dari Kampung Paya Tateh dan Kampung Paya Helang yang ditempatkan di Kompleks Rakan Muda Kerayong.

Jurucakap Jabatan Pengairan dan Saliran Pahang berkata paras bacaan Sungai Triang di Triang dan Sungai Kuantan di Bukit Kenau kini melebihi paras berjaga-jaga iaitu masingmasing di paras 33.73 meter dan 20.32 meter. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain