suria

Sebutan Kes Rayuan Abdul Kudus Febuari Depan

SHAH ALAM:Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menetapkan 19 Febuari depan untuk sebutan semula kes rayuan terhadap sabitan dan hukuman kes rasuah bekas pengarah penguatkuasa Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Kapt (B) Abdul Kudus Ahmad, Jun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Yazid Mustafa menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Mohd Zaki Mohd Salleh memaklumkan bahawa rekod res rayuan belum disediakan dan peguam perayu Datuk Salehuddin Saidin tidak hadir.

Abdul Kudus memberitahu mahkamah bahawa beliau telah melantik Salehuddin dalam kes rayuan itu dan memerlukan masa untuk menyediakan rayuan membabitkan 24 pertuduhan.

Pada 30 Jun lalu, Abduk Kudus, 46, dijatuhkan hukuman penjara 11 tahun dan 10 bulan dan denda RM370,000 oleh Mahkamah Sesyen Ampang selepas didapati bersalah atas 24 tuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM59,000.

Dia juga menghadapi kemungkinan untuk dipenjarakan selama 17 tahun jika gagal membayar denda tersebut.

Abdul Kudus didakwa meminta dan menerima rasuah itu daripada pemilik restoran Sri Steven's Corner antara Mei 2001 dan Mei 2004 di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain