suria

Polis Tumpas Sindiket Penipuan 'Black Money'

KUALA LUMPUR: Polis percaya berjaya menumpaskan sindiket penipuan 'black money' yang didalangi warganegara Afrika, dengan penahanan empat suspek di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Wira Mohammad Sabtu Osman berkata berdasarkan maklumat dan hasil risikan selama dua minggu, polis menahan anggota kumpulan itu dalam serbuan di sebuah kondominium di Jalan Ampang Hilir, empat hari lepas.

"Dua kereta peronda polis mengepung suspek semasa kereta mereka memasuki perkarangan kondo itu.

"Seorang daripada mereka cuba mengeluarkan 'pistol' dari jaketnya tetapi polis berjaya menghalangnya sebelum dia berbuat demikian," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya "senjata api" itu kemudiannya didapati pistol tiruan dan polis turut merampas dua lagi pistol mainan, 540 keping RM50 palsu bernilai RM27,000 dalam peti simpanan dan dua pisau pemotong daging dalam but kereta. Mohammad Sabtu berkata siasatan lanjut mendapati empat suspek berumur 26 hingga 44 tahun itu memasuki negara dua tahun lepas dan mencari "pelanggan" bagi penipuan "black money".

"Tiga daripada suspek memasuki negara menggunakan visa pelajar manakala seorang lagi dipercayai perancang sindiket itu, menggunakan pas lawatan sosial.

"Modus operandi mereka ialah berpura-pura menawarkan sejumlah mata wang tempatan palsu untuk ditukarkan dengan mata wang tulen tetapi niat utama mereka merompak pelanggan mereka," katanya.

Katanya kereta yang digunakan sindiket itu milik seorang lelaki warga Pakistan dan polis sedang mengesan pemilik kereta itu untuk membantu siasatan.

Mohammad Sabtu berkata sebanyak 119 kes 'black money' melibatkan warganegara Afrika dilaporkan di Kuala Lumpur dari Januari hingga November tahun ini dengan 62 kes melibatkan pelajar manakala bakinya melibatkan warganegara Afrika menggunakan pas lawatan sosial. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain