suria

Polis Pulau Pinang Berjaya Lumpuhkan Sindiket Judi Haram

PULAU PINANG: Polis Pulau Pinang berjaya melumpuhkan sindiket judi haram yang mengaut keuntungan sehingga setengah juta ringgit dalam sebulan, dalam serbuan di sebuah rumah di sini dua hari lepas.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah D7 Pulau Pinang ACP Nassir Salleh berkata dalam serbuan itu, polis turut memberkas seorang lelaki dan empat wanita termasuk seorang warga Indonesia.

"Serbuan yang dilakukan adalah hasil risikan pasukan polis selama tiga bulan, hasil serbuan itu juga polis turut menemui 342 keping kertas putih yang disyaki kertas pertaruhan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya siasatan awal polis mendapati rumah berkenaan telah beroperasi selama beberapa bulan dan pertaruhan bukan hanya tertumpu di Pulau Pinang tetapi juga dari Kedah.

Turut dirampas dalam operasi terbabit ialah tiga unit mesin faks, ratusan gulungan kertas putih dipercayai kertas catatan angka, empat telefon bimbit, dan tiga telefon rumah.

Kesemua yang diberkas kini direman bagi membantu siasatan dan akan didakwa mengikut Seksyen 4 (A) Akta Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan denda minimum RM20,000 dan tidak kurang RM200,000 atau penjara minimum lima tahun, katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain