suria

Murugiah Dapat Kebenaran Untuk Batal Keputusan Pendaftaran Pertubuhan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memberikan kebenaran kepada Senator Datuk T. Murugiah untuk membatalkan keputusan Pendaftar Pertubuhan (ROs) yang memutuskan pemecatannya oleh Parti Progresif Penduduk (PPP) adalah sah.

Hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin, yang membuat keputusan itu di dalam kamar, juga memberikan kebenaran kepada Timbalan Menteri itu untuk mencabar keputusan mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang memilih Murugiah sebagai presiden PPP sebagai tidak sah.

Beliau mengeluarkan perintah itu selepas mendengar hujahan peguam Francis Pereira, yang mewakili Murugiah, dan Peguam Kanan Persekutuan Nadia Hanim Mohd Tajuddin, yang mewakili ROS.

Pereira kemudiannya memberitahu pemberita bahawa hakim memutuskan bahawa wujud alasan untuk mendengar perkara itu di sebalik ketetapan Seksyen 18(c) Akta Pertubuhan 1966 bahawa keputusan sebuah parti politik berkaitan hal ehwalnya adalah muktamad dan konklusif dan tidak boleh dicabar di mahkamah. Katanya hakim juga memutuskan hasil siasatan ROS adalah satu keputusan dan boleh dicabar di mahkamah.

Beliau berkata hakim memerintahkan kedua-dua pihak memfailkan dokumen bagi pendengaran.

Murugiah menamakan ROS sebagai responden tunggal dalam permohonannya bagi perintah certiorari untuk membatalkan keputusan ROS bertarikh 26 Ogos.

Antara lain, beliau memohon diisytiharkan bahawa responden (ROs) tidak mempunyai kuasa di bawah Akta Pertubuhan 1966 untuk membuat sebarang keputusan berhubung pemecatannya oleh PPP.

Beliau juga meminta diisytiharkan bahawa ROS tidak mempunyai bidang kuasa di bawah Akta Pertubuhan untuk membuat sebarang keputusan berhubung kesahihan EGM parti yang diadakan pada 24 Mei. Murugiah dipecat pada Mei selepas beliau didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri untuk mengadakan sidang akhbar yang telah mencemarkan imej dan nama baik parti dan mengeluarkan kenyataan memfitnah terhadap parti, majlis tertinggi dan pucuk pimpinannya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain