suria

Isu Doa: Jangan Letakan Politik Melebihi Segala-galanya- Ahli Akademik

KUALA LUMPUR: Seorang ahli akademik hari ini mengingatkan pemimpin politik di negara ini khususnya yang beragama Islam agar tidak meletakkan politik melebihi segala-galanya sehingga sanggup memijak nilai budaya dan agama.

Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid berkata tindakan mengutamakan politik itu telah memburukkan lagi perpecahan ummah yang juga berpunca daripada terlalu banyak politik.

"Jangan kita jadikan politik satu platform yang boleh mengatasi semua perkara dalam hidup," kata Mahmood Zuhdi, Timbalan Dekan Institut Pemikiran Tamadun Islam Antarabangsa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, kepada Bernama.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat barubaru ini yang mahu mendoakan keburukan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak sekiranya kerajaan pusat enggan memberikan royalti minyak kepada kerajaan Kelantan yang ditadbir Pas.

Mahmood Zuhdi berkata suasana dunia Islam sekarang semakin berubah kerana segala perkara dicampurkan dengan kepentingan politik.

"Oleh itu sudah sampai masanya untuk kita bincang balik sesama kita (untuk menyelesaikan segala isu berbangkit). Sampai bila kita nak berpolitiking sesama kita," katanya. Presiden Persatuan Ulama Malaysia Datuk Sheikh Abdul Halim Abdul Kadir berkata Islam membenarkan umatnya berdoa agar menimpakan sesuatu kepada pihak yang menzalimi mereka namun, seseorang itu perlu memastikan bahawa kezaliman itu telah dibuktikan berlaku.

"Persoalannya (dalam isu ini) nak disabitkan kezaliman itu (sama ada berlaku atau tidak).

Tapi nak doa pun ada langkah-langkahnya, iaitu kena mohon minta dilembutkan hati, dinasihatkan, atau diambil tindakan-tindakan lain terdahulu," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain