suria

Wanita Ditahan Berhubung Kejadian Tembakan

JOHOR BAHARU: Polis menahan seorang wanita bagi membantu siasatan kejadian bunuh terhadap seorang kontraktor dan pengurus syarikat yang mati ditembak, di Jalan Tebing Runtuh, di sini, semalam.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata wanita rakyat tempatan berumur 22 tahun itu ditahan malam tadi di sekitar kawasan Nusajaya, dekat sini.

"Polis yakin dapat menyelesaikan kejadian tembakan itu dengan cepat dengan penahanan wanita itu. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu turut diminta menghubungi polis bagi membantu siasatan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri seminar polis bantuan, di sini, hari ini.

Kejadian tembakan itu berlaku kira-kira pukul 3.30 petang semalam, selepas kontraktor berumur 39 tahun dan pengurus syarikat berumur 43 tahun yang terlibat dalam projek pembinaan jalan raya di Nusajaya itu, dipercayai mengeluarkan wang untuk membayar gaji pekerja mereka.

Kereta pajero Mitsubishi yang dinaiki kedua-dua mangsa dipintas oleh dua suspek yang menaiki kereta Toyota dan bersenjatakan dua pistol sebelum mereka ditembak di kepala dan badan.

Suspek melarikan diri bersama wang dan membakar kereta Toyota mereka di tepi belukar di kawasan Lima Kedai kira-kira lima kilometer dari lokasi kejadian.

Selepas membakar kereta itu, suspek kemudian melarikan diri dengan menggunakan sebuah lagi kenderaan lain.

Siasatan awal mempercayai kejadian itu bermotifkan rompakan, bagaimanapun polis masih menyiasat motif sebenar kejadian. BERNAMA

Artikel Lain