suria

Tragedi Kuala Dipang : Perak Senarai Hitam Kontraktor

IPOH: Kerajaan Perak telah menyenaraihitamkan syarikat kontraktor yang terbabit dalam tragedi jambatan gantung runtuh di Pusat Kokurikulum Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kinta Selatan di Kuala Dipang, Kampar, daripada sebarang projek pembangunan di Perak.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata kerajaan negeri akan membuat laporan polis sekiranya perlu bagi memastikan tindakan sewajarnya dapat dikenakan terhadap kontraktor terbabit.

"Kelalaian syarikat terbabit tidak boleh diambil mudah. Ia sangat serius kerana tiga nyawa telah terkorban," katanya ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor bahawa kementerian itu tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap kontraktor berkenaan.

Bagaimanapun, Shaziman menggesa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) membuat laporan polis jika mahu tindakan undangundang dikenakan terhadap kontraktor terbabit. Zambry berkata sehingga hari ini kerajaan negeri belum menerima laporan lengkap berhubung siasatan kejadian itu. Pada 26 Okt lepas, tiga murid maut apabila jambatan gantung yang mereka gunakan untuk menyeberang Sungai Kampar di Pusat Kokurikulum PPD berhampiran Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang itu runtuh.

Kejadian pada 10 malam itu berlaku semasa aktiviti kokurikulum Perkhemahan 1Malaysia anjuran PPD itu yang membabitkan 298 murid dari 60 sekolah rendah dari Kampar, Tronoh dan Batu Gajah. -BERNAMA

Artikel Lain