suria

Lelaki Mengaku Guris Gambar Sultan

IPOH: Polis hari ini mengesahkan kejadian seorang lelaki yang diberkas kerana mengguris gambar Sultan Perak Sultan Azlan Shah pada Sabtu lepas berlaku di Kelab Golf Diraja Perak di sini.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Azisman Alias berkata kejadian itu bukan berlaku di Kelab Lumba Kuda Perak seperti yang dilaporkan akhbar sebelum ini.

Bercakap kepada Bernama di sini hari ini, beliau berkata lelaki berusia 40 tahun yang berasal dari Kuala Lumpur itu telah dihadapkan ke mahkamah dua hari lepas dan mengaku salah di atas perbuatan tersebut.

Azisman berkata mahkamah telah menetapkan tarikh hukuman ke atas lelaki itu dua minggu lagi.

Kes tersebut disiasat dibawah Seksyen 427/447 Kanun Keseksaan kerana merosakkan harta benda awam, katanya yang memberitahu lelaki itu diberkas selepas polis menerima aduan daripada seorang pengawal keselamatan kelab berkenaan.

Azisman berkata siasatan mendapati lelaki berkenaan berada dalam keadaan mabuk semasa melakukan perbuatan itu pada kira-kira pukul 10 malam. BERNAMA

Artikel Lain