suria

Tahanan ISA Yang Dibebaskan Adalah Mereka Yang Menjalani Proses Pemulihan

KUALA LUMPUR: Tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dibebaskan adalah mereka yang telah menjalani proses pemulihan serta mencapai tahap yang ditetapkan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata semasa menjalani tempoh tahanan, orang yang ditahan akan mengikuti program pemulihan yang dijalankan oleh agensiagensi berkaitan dan mereka akan dinilai tahap pemulihan yang telah dicapai.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulisnya kepada soalan Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) yang ingin tahu mengenai justifikasi penerusan tahanan rakyat Malaysia mengikut ISA selepas lima anggota Jemaah Islamiah (JI) yang dikatakan berbahaya dibebaskan pada 14 September lepas tanpa diberikan alasan.

Hishammuddin turut menjelaskan bahawa ISA merupakan undangundang pencegahan yang berbentuk pemulihan dan bukan undang-undang berbentuk hukuman.

"Perlanjutan sesuatu perintah tahanan pula akan diputuskan dengan mengambil kira syor daripada pelbagai pihak seperti Lembaga Penasihat dan kementerian itu, dan syor itu perlu untuk memastikan sama ada seseorang itu telah insaf atau mencapai tahap pemulihan yang ditetapkan atau ditafsirkan telah tidak lagi mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara," katanya.

Selain itu, kerajaan tidak berhasrat untuk mendakwa orang yang ditahan tersebut di mahkamah terbuka atau berhasrat untuk menutup tempat tahanan perlindungan Taiping di Perak, katanya. BERNAMA

Artikel Lain