suria

Senjata Api Meletup : Syarikat Kawalan Keselamatan Diminta Beri Keterangan

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan meminta syarikat kawalan keselamatan terbabit memberi keterangan susulan kejadian senjata api pengawal meletup mengakibatkan dua kanak-kanak cedera di sebuah Kedai Tenaga Bedford milik agensi itu, di Jalan Klang Lama di sini semalam.

Menurut kenyataan TNB malam semalam, tindakan sewajarnya juga akan diambil ke atas syarikat tersebut.

"Kami telah mengarahkan kakitangan kami untuk berada di hospital bagi memberikan apa jua kemudahan yang diperlukan mangsa," kata kenyataan itu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.40 petang, dua kanak-kanak berusia 12 tahun cedera parah di kaki kanan akibat terkena serpihan peluru daripada selaras senapang patah milik seorang pengawal keselamatan yang terjatuh dan meletup.

Ahmad Faiz Roslan, 12, dilaporkan cedera teruk di ibu jari kanan manakala sepupunya Muhamad Faris Abdullah, 12, cedera di tapak kaki kanan.

Ketika kejadian, dua kanak-kanak itu sedang duduk di ruang menunggu sementara ibu Muhamad Faris menjelaskan bil di kaunter pembayaran. BERNAMA

Artikel Lain